Adab berkawan biar ikhlas, adab kerjasama biar bersungguh

Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mahu partinya bekerjasama dengan parti komponen Kerajaan perpaduan dengan keikhlasan dan kesungguhan.

”Adat berkawan biarlah ada keikhlasan. Adat bekerjasama biarlah ada kesungguhan,” kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Presiden UMNO itu berkata, memandangkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu akan berlangsung 11 Mei depan, tumpuan kini terarah bagi memastikan calon Kerajaan Perpaduan memenangi kerusi berkenaan.

”Fokus dan tekad kita kini adalah untuk terus memastikan kemenangan siapa jua calon Kerajaan Perpaduan yang akan diumumkan nanti.

”Ini bagi memastikan aspirasi Malaysia Madani dapat terus diperhebatkan dan kerjasama yang terbina ini terus berkekalan.

”Pesan saya jangan bertelagah, banyakkan bermuhasabah dan berunding dengan penuh hikmah,” katanya menerusi satu catatan di Facebook beliau.

Dalam catatan sama, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri menyeru agar menghargai nikmat berkerajaan yang Allah SWT berikan.

Beliau turut mengingatkan agar jangan leka berebut ‘ghanimah’ sehingga lupa agenda utama iaitu untuk memastikan kestabilan agar negara semakin sejahtera dan rakyat beroleh kemakmuran yang melimpah ruah.

PRK DUN Kuala Kubu Bharu diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong, pada 21 Mac lalu.

Pada pilihan raya negeri tahun lalu, Lee Kee Hiong daripada DAP berjaya mempertahankan kerusi DUN itu dengan majoriti 4,119 undi apabila mengalahkan Teoh Kien Hong (GERAKAN), Siva Prakash Ramasamy (MUDA) dan Chang Boon Lai (Parti Rakyat Malaysia).

Pengundian bagi PRK itu akan berlangsung pada 11 Mei depan, manakala hari penamaan calon akan diadakan pada 27 April.

BACA JUGA: ‘Ambil peluang bincang sebarang isu dengan rasional, berhikmah’

Â