‘Ambil peluang bincang sebarang isu dengan rasional, berhikmah’

Persidangan cawangan UMNO yang bermula hari ini diharap akan menjadi medan untuk menyuntik nilai kebersamaan dan menjunjung prinsip kesetiaan terhadap perjuangan.

Harapan itu disuarakan presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerusi satu catatan di Facebook rasmi beliau, sebentar tadi.

Katanya, UMNO adalah sebuah parti yang mempunyai kekuatan dan rangkaian sehingga ke peringkat akar umbi.

”Persidangan di peringkat cawangan adalah bukti UMNO mempunyai struktur mantap, melebar sehingga ke 191 Bahagian dari Perlis hingga ke Sabah.

”Ambillah ruang dan peluang untuk berbincang mengenai apa juga isu-isu dengan penuh rasional dan berhikmah.

”Santunilah ahli dan dekatilah para pengundi agar mereka yakin bahawa agenda UMNO hanyalah untuk memastikan kestabilan politik negara dan menjamin kebajikan serta kesejahteraan rakyat keseluruhannya,” pesan Ahmad Zahid dalam laman sosialnya itu.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri menyifatkan, cawangan yang aktif adalah nadi yang akan meneruskan denyutan perjuangan parti itu di bahagian dan di peringkat kebangsaan.

”Persidangan inilah platform menggarap strategi dan rancangan agar UMNO bersama kita perkuatkan.

”Semoga Allah SWT memberkati dan mempermudahkan segala urusan dalam melunaskan perjuangan demi memenuhi tuntutan agama, bangsa dan tanah air yang kita sama cintai ini.

”Kepada semua perwakilan cawangan, Wanita, Pemuda dan Puteri, selamat bersidang!

”Inilah masanya untuk memperkukuh perpaduan, memperkasa kesatuan,” ujarnya lagi.

Untuk rekod, persidangan cawangan UMNO seluruh negara bermula hari ini dan akan berlangsung sehingga 2 Jun depan.

Mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian, Wanita UMNO Bahagian, Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian dan Pergerakan Puteri UMNO Bahagian akan diadakan bermula 21 Jun 2024 sehingga 29 Julai 2024.

Perhimpunan Agung UMNO (PAU) pula akan diadakan pada 21 sehingga 24 Ogos 2024.

BACA JUGA: ‘Calon DAP ialah calon BN juga’