‘Calon DAP ialah calon BN juga’

Ketua Umno Selangor Datuk Megat Zulkarnain Omardin menggesa anggota partinya untuk menyokong calon Kerajaan Perpaduan di dalam pilihan raya kecil Kuala Kubu Baharu, meskipun calon kerusi tersebut ialah dari DAP.

Beliau berkata Umno tidak boleh dihalang dengan dakwaan bahawa mereka DAP memandangkan kedua-dua parti berada dalam blok kerajaan.

“Kita di Umno mesti bersetuju bahawa calon yang diketengahkan ialah calon Kerajaan perpaduan. Ini melangkaui parti di dalam kerajaan. BN sebahagian dari kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk memastikan kemenangan calon.

“Kita sebahagian daripada kerajaan. Ini calon kita. Suka atau tidak, kita tak boleh kata dia mewakili sesebuah parti tetapi mewakili kerajaan,” kata beliau, petik Utusan Malaysia.

Megat Zulkarnain yakin pembangkang akan memainkan naratif Umno membantu kemenangan DAP. Walau bagaimanapun beliau sudah pun mempunyai strategi menangani tuduhan tersebut.

“Kita perlu sedar kenapa kita membenarkan andaian bahawa kita ditunggang dan diperguna oleh DAP. Tak boleh lihat dari perspektif lain? Dengan adanya kehadiran Umno dalam kerajaan, kita boleh membawa politik wasatiyah.

“Ini bermakna semua parti – Umno, DAP, PKR, AMANAH – boleh menjadi wasatiyah. Kita boleh meneutralkan persepsi negatf terhadap DAP kerana kita suara Melayu.

PRK Kuala Kubu Bahru dijadualkan berlangsung pada 7 Mei manakala penamaan calon ialah pada 27 April.

BACA JUGA: Bawa balik menantu dulu, Muhyiddin