Bawa pulang rakyat Malaysia di Iran, Mindef tunggu maklumat Wisma Putra

Keputusan membawa pulang rakyat Malaysia di Iran selepas menilai situasi terkini di negara berkenaan, adalah tertakluk kepada Kementerian Luar, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau memaklumkan, pihaknya bersiap sedia untuk membantu Kementerian Luar jika terdapat keperluan membawa pulang rakyat Malaysia susulan konflik antara negara itu dan Israel.

Katanya, kerajaan semestinya akan mengambil tindakan sewajarnya demi memastikan rakyat Malaysia yang berada di mana sahaja, berada dalam keadaan selamat dan terhindar daripada sebarang konflik peperangan.

”Setakat ini tiada (peperangan di Iran), tidak lebih daripada serangan dron tempoh hari. Sehubungan itu, kita (Mindef) bergantung kepada Wisma Putra, mereka akan tahu semua (perkembangan situasi di Iran).

“Tidak bermakna Angkatan Tentera Malaysia (ATM) disuruh pergi ke sana (Iran) tapi sekiranya perlu, kita harus mengkaji dahulu logistik dan laluan yang boleh kita masuk dan tidak boleh masuk.

”Jika ini berlaku, barisan hadapan adalah Kementerian Luar dan selepas itu baru beritahu kita (Mindef).

”Peranan yang kita boleh mainkan, kerana sebagai tentera tidak boleh terus masuk ke negara orang,” katanya lapor Sinar Harian.

Menurut Mohamed Khaled, maklumat mengenai situasi di Iran perlu dikaji dengan teliti sama ada ia sahih bahawa keadaan di negara itu semakin teruk atau sebaliknya sebelum membuat keputusan untuk membawa pulang rakyat Malaysia di sana.

Pada 19 April lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilapor berkata, kerajaan bersedia membawa pulang warga Malaysia di Iran jika perkembangan konflik antara negara itu dan rejim Zionis semakin membimbangkan.

Iran melancarkan ratusan peluru berpandu dan dron ke atas Israel pada 13 April lalu sebagai tindak balas terhadap serangan 1 April ke atas Konsulat Iran di Damsyik, Syria yang mengakibatkan sekurang-kurangnya 13 orang terbunuh, termasuk tujuh penasihat tentera.

Beberapa peluru berpandu dilaporkan melanda wilayah Israel, satu daripadanya merosakkan kemudahan ketenteraan Israel di selatan negara itu.

BACA JUGA: Jualan Ehsan Rahmah tawar harga murah di empat lokasi esok