Kenapa guna Akta Pengambilan Tanah, bincanglah dengan adil

Pengerusi AMANAH Wilayah Persekutuan Khalid Samad menyoal penggunaan Akta Pengambilan Tanah ke atas pemilik tanah Kampung Sungai Baru.

AMANAH WP kesal dengan penggunaan Akta Pengambilan Tanah ke atas pemilik-pemilik tanah di Kampung Sungai Baru oleh Menteri WP di zaman kerajaan Perikatan Nasional yang lalu.

“Kerajaan tidak sepatutnya membiarkan dirinya menjadi alat kepada pihak pemaju untuk menguatkuasakan akta tersebut bagi mengeluarkan penduduk dari tempat kediaman mereka untuk melaksanakan projek swasta yang bukannya pun atas dasar kepentingan awam.

“Amalan buruk seperti ini tidak harus diulangi lagi di masa yang akan datang di mana-mana tempat sekalipun,” kata beliau.

Beliau turut menggesa Menteri Wilayah Persekutuan Dr Zaliha Mustafa berjumpa dengan penduduk dan pemilik tanah Kampung Sungai Baru pada kadar segera untuk menyelesaikan masalah disitu.

“AMANAH juga berharap Menteri Wilayah Persekutuan dapat turun segera berjumpa dan berbincang dengan semua penduduk terlibat seperti yang beliau janjikan di parlimen minggu lalu.

“Kerajaan Madani perlu memastikan penyelesaian adil, pampasan munasabah dan sentiasa utamakan kebajikan dan keadilan kepada penduduk serta pemilik tanah yang kesemuanya terdiri daripada orang Melayu.”

Ini kerana meskipun tanah dan rumah telah diambil alih, rata-rata penduduk masih belum berpindah.

Beliau turut memberikan pesanan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“DBKL perlu maklumkan kepada umum sama ada Perintah Pembangunan telah diluluskan atau belum pembangunan yang dirancang disitu.”

Beliau menegaskan bahawa hak, kepentingan dan kebajikan penduduk dan pemilik tanah di Flat Kampung Sungai Baru tidak boleh dipergadaikan demi pembangunan semata-mata.

BACA JUGA: ‘Calon DAP ialah calon BN juga’