‘Dekat mana yang walaun kata tarif elektrik naik?’

Tak sudah-sudah pembangkang yang mesra digelar walaun membangkitkan sentimen membenci Kerajaan Madani termasuk menjaja cerita kononnya tarif elektrik naik.

Pemerhati politik, Ahmad Mursi tampil menyertakan bukti senarai tarif elektrik bagi 2011, 2014 dan tahun ini.

“Ini tarif elektrik 2011, 2014 dan kini 2024 yang boleh dirujuk di laman web TNB. Dekat mana yang walaun kata naik?

“Boleh je cari tarif 2014 semasa diumum kenaikan dulu dan bandingkan yang ada tarif elektrik hari ni untuk rumah kediaman,” ujarnya.

Malah, beliau mengingatkan kembali bagaimana kerajaan Perikatan Nasional (PN) ada cadangan untuk menaikkan tarif elektrik.

Walau bagaimanapun, katanya, Kerajaan Madani diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim bertindak membatalkan langkah itu sekaligus menghindarkan tambahan bebanan terhadap rakyat terutama golongan B40.

“Kerajaan PN melalui Menteri Takiyuddin umum nak naikkan tapi cadangan itu tak jadi dan dibatalkan oleh Kerajaan Madani,” kata Ahmad Mursi lagi.

Untuk rekod, Suruhanjaya Tenaga (ST) memaklumkan sejumlah 99 peratus atau 8.2 juta pengguna domestik di Semenanjung Malaysia masih menerima subsidi tarif elektrik.

Kerajaan mengekalkan rebat 2 sen/kilowatt-jam (kWj) bagi golongan pengguna dengan penggunaan elektrik sebanyak 600kWj dan ke bawah sebulan.

Golongan pengguna dengan penggunaan elektrik melebihi 600kWj hingga 1,500kWj sebulan pula, tiada surcaj akan dikenakan.

Kadar surcaj pula dikekalkan pada kadar 10 sen/kWj bagi pengguna dengan penggunaan elektrik bulanan melebihi 1,500kWj.

Pelarasan tarif elektrik dilaksanakan di bawah mekanisme Pelepasan Kos-Kos Tidak Seimbang (ICPT).

ICPT merujuk kepada satu mekanisme di bawah Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR), yang membolehkan kos bahan api diselaraskan setiap enam bulan, berdasarkan turun naik harga global bahan api.

Pengguna bukan domestik kategori tarif komersial dan perindustrian voltan rendah (tarif B dan D), tarif pertanian spesifik (tarif H, H1 dan H2) serta operator air dan pembetungan, tidak akan mengalami kenaikan tarif elektrik dengan surcaj ICPT pada kadar 3.7 sen/kWj dikekalkan.

Menurut ST, surcaj bagi pengguna bukan domestik lain adalah kekal pada kadar 17 sen/kWj.

Berdasarkan kepada penyasaran semula subsidi, kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM1.9 bilion subsidi kepada semua kategori pengguna bagi meminimumkan impak surcaj ICPT sepanjang tempoh pelaksanaan itu.

BACA JUGA PRK Kuala Kubu Bharu: PH umum calon esok malam