PRK Kuala Kubu Bharu: PH umum calon esok malam

Pakatan Harapan (PH) bakal mengumumkan calon yang akan mewakili gabungan Kerajaan Perpaduan itu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu esok.

Pengarah PRK Kuala Kubu Bharu, Ng Sze Han berkata, pengumuman itu akan diadakan di Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kubu Bharu pada jam 8 malam.

Terdahulu, Naib Presiden Keadilan, Nik Nazmi Nik Ahmad memaklumkan pemilihan sama ada meletakkan calon PKR bagi pilihan raya berkenaan terletak pada DAP.

Walau bagaimanapun, hal tersebut katanya, tetap akan melalui proses perbincangan bersama Majlis Presiden peringkat PH dan Kerajaan Perpaduan.

Kerusi DUN Kuala Kubu Bharu diisytiharkan kosong selepas Lee Kee Hiong daripada DAP meninggal dunia pada 21 Mac lalu akibat kanser.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun lalu, Kee Hiong mempertahankan kerusi itu dengan majoriti 4,119 undi.

Beliau menewaskan Teoh Kien Hong (Gerakan), Siva Prakash Ramasamy (Muda) dan Chang Boon Lai (Parti Rakyat Malaysia).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei depan dengan 27 April sebagai hari penamaan calon.

Proses pengundian awal pula dijadualkan pada 7 Mei manakala tempoh berkempen selama 14 hari.

BACA JUGA Jualan Ehsan Rahmah tawar harga murah di empat lokasi esok