Majlis tahlil, doa ganti sambutan Hari Ulang Tahun Ke-90 TLDM

Sambutan Ulang Tahun Perbarisan Hari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Ke-90 yang dijadual berlangsung Sabtu ini, dibatalkan dan digantikan dengan majlis tahlil serta doa selamat.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, keputusan itu mendapat perkenan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang juga Kepten Yang Dipertua TLDM.

”Kita akan batalkan, ganti dengan majlis bacaan doa selamat dan tahlil pada Jumaat ini,” katanya memetik FMT.

Terdahulu, Kementerian Pertahanan dilapor akan menilai semula ketetapan berhubung penganjuran sambutan berkenaan.

Penilaian itu dibuat susulan nahas helikopter terhempas di pangkalan TLDM Lumut, Perak yang mengorbankan 10 pegawai dan anggota, pagi tadi.

Dalam kejadian 9.30 pagi tadi, dua helikopter yang sedang menjalani raptai Perbarisan Hari TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut, dilaporkan bertembung dan terhempas.

TLDM mengesahkan 10 anggotanya meninggal dunia dalam kejadian itu yang melibatkan tujuh kru Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan tiga lagi kru Fennec TLDM.

BACA JUGA: nahas-helikopter-lumut-dia-kata-takut-tak-sempat-makan-selepas-ini/