Malaysia dianggap ‘magnet rezeki’, banyak syarikat gergasi teknologi mula berpindah ke sini

Susulan ketegangan perdagangan yang terus memuncak antara Beijing dan Washington, syarikat asing dilapor mula memindahkan kemudahan pembuatan mereka keluar dari China.

Tindakan itu sekaligus bakal memanfaatkan Malaysia yang berkembang menjadi pengeksport semikonduktor keenam terbesar di dunia. 

Sebagai contoh, Intel yang memulakan perniagaan sejak 50 tahun lalu, menubuhkan kilang pembuatan antarabangsa pertama di Pulau Pinang. 

Syarikat cip gergasi Amerika Syarikat (AS) itu juga sedang membina sebuah lagi kilang di negeri sama yang bakal menjadi kemudahan luar negara pertama syarikat itu dalam pembungkusan cip 3D termaju. 

Lapor CNA, Malaysia berada di landasan yang tepat apabila banyak syarikat semikonduktor dan kenderaan elektrik berpindah ke Asia Tenggara bagi mengelakkan sekatan perdagangan dan mengukuhkan rantaian bekalan. 

Ekosistem sedia ada terutamanya di Pulau Pinang dan Kulim, Kedah adalah magnet rezeki bagi syarikat teknologi yang ingin mengurangkan risiko ketika perlumbaan sengit antara AS dan China. 

Pengarah Eksekutif Perunding Hartanah Antarabangsa KGV, Samuel Tan berkata, pihaknya menjalinkan hubungan yang baik antara China dan AS. 

“Disebabkan perang perdagangan antara kedua-dua negara itu, Malaysia menjadi saluran yang sesuai untuk mengimbangi perang perdagangan yang tercetus. 

“Negara Eropah juga berpindah ke Malaysia kerana mahu mengeksport produk ke China,” katanya seperti dilapor.

Malaysia menyaksikan peningkatan yang stabil menerusi pelaburan langsung asing (FDI) dalam sektor teknologi sejak 2021, dengan Intel dan rakan gergasi cip, Infineon Technologies melabur AS$7 bilion (RM33 bilion) bagi menjalankan pembungkusan, pemasangan dan ujian di negara ini. 

Gergasi teknologi dari Austria, AT&S menghasilkan papan litar mewah, manakala pembuat cip dari AS, Nvidia bekerjasama dengan konglomerat tempatan, YTL membangunkan cloud kecerdasan buatan dan infrastruktur superkomputer berbilion dolar di Malaysia. 

BACA JUGA Zahid dah bawa isu pengampunan Najib kepada Agong yang baharu, kata Lokman