Pemergian 10 anggota TLDM sentuh hati, perasaan rakyat Malaysia
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan rasa dukacita susulan insiden nahas dua helikopter bertembung di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Lumut di Perak, pagi tadi.
Beliau menyifatkan, peristiwa tersebut bukan sahaja memberi kesan mendalam terhadap ahli keluarga mangsa, tetapi ia turut menyentuh hati dan perasaan seluruh rakyat Malaysia.
“Hari ini seluruh rakyat Malaysia telah dikejutkan dengan berita sedih nahas helikopter yang terhempas semasa melakukan raptai Perbarisan Hari TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut pada jam 9.32 pagi tadi.
“Saya mengucapkan takziah buat semua ahli keluarga mangsa yang terlibat
dalam nahas tersebut dan berharap mereka diberikan kekuatan serta kesabaran menghadapi ujian ini,” katanya menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di Facebooknya, sebentar tadi.
Dalam catatan sama, Ahmad Zahid turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua perwira negara yang terlibat dalam nahas itu.
“Segala jasa, bakti dan pengorbanan yang dicurahkan untuk melindungi kedaulatan tanah air pastinya akan terus dikenang.
“Semoga segala urusan dipermudahkan olehNya,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau turut meminta agar orang ramai tidak menyebarkan video kejadian demi menjaga sensitiviti keluarga serta dapat mengganggu proses penyiasatan.
Dalam nahas pagi tadi, seramai 10 kru dilaporkan terkorban melibatkan dua helikopter TLDM yang bertembung ketika sedang menjalani raptai Perbarisan Hari TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut, Perak.
Dua helikopter yang terdiri model HOM-AW139 dan Fennec itu berlepas dari Padang Sitiawan pada jam 9.03 pagi.
BACA JUGA PM Anwar utus salam takziah untuk keluarga mangsa nahas helikopter