PM Anwar utus salam takziah untuk keluarga mangsa nahas helikopter

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan ucapan takziah kepada semua keluarga mangsa nahas helikopter yang terkorban dalam insiden di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Perak, pagi tadi.

Pemimpin berusia 76 tahun itu turut mendoakan agar keluarga mangsa yang terlibat, diberikan kekuatan dalam menghadapi musibah tersebut.

”Negara berdukacita dengan tragedi yang menyayat hati dan meruntun jiwa membabitkan nahas dua helikopter di Pangkalan TLDM Lumut hari ini.

”Tragedi ini ternyata memberi kesan yang mendalam kepada keluarga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan kehilangan besar buat negara.

”Saya dimaklumkan satu siasatan segera akan dijalankan Kementerian Pertahanan khususnya TLDM untuk mencari punca nahas,” katanya menerusi satu hantaran dimuat naik di Facebook beliau.

Anwar turut mendoakan semoga roh semua yang terkorban dicucuri rahmat dan diampunkan segala dosa mereka.

”Semoga Tuhan mengasihi mereka dan memberi tempat dan kedudukan yang istimewa di-Sisinya.

”Al-Fatihah,” ujar beliau dalam catatan berkenaan.

Dalam kejadian jam 9.30 pagi tadi, dua helikopter yang sedang menjalani raptai Perbarisan Hari TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut, dilaporkan bertembung dan terhempas.

TLDM kemudiannya mengesahkan 10 anggotanya meninggal dunia dalam kejadian itu yang melibatkan tujuh kru Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan tiga lagi kru Fennec TLDM.

BACA JUGA Majlis tahlil, doa ganti sambutan Hari Ulang Tahun Ke-90 TLDM