Raih 1.6 juta tontonan, ramai terhibur tengok video tauke babi joget ‘Alamak Raya Lagi’

Fenomena lagu Alamak Raya Lagi bukan sahaja diminati orang Melayu Islam, bahkan tidak disangka-sangka lagu tersebut turut menarik perhatian kaum bukan Islam di negara ini.

Mana tidaknya, seorang tauke babi baru-baru ini mendapat perhatian meluas warga maya selepas dia memuat naik video menari dengan dendangan lagu dari kumpulan De Fam itu.

Berdasarkan maklumat di akaun media sosial lelaki terbabit, dia merupakan penjual daging babi panggang di Lukut, Port Dickson, Negeri Sembilan.

Dia juga memang gemar menari dan memberitahu bahawa tarian lagu Alamak Raya Lagi itu ditujukan buat rakan-rakannya yang berbangsa Melayu.

Tarian yang dimuat naik di TikTok pada 14 April lalu berjaya meraih sebanyak 1.6 juta tontonan setakat berita ini ditulis.

“Maaf saya lambat buat cover ini. Ini joget untuk kawan-kawan Melayu saya, terima kasih kerana menjadi sebahagian hidup saya,” tulisnya.

Dia juga memberi penghargaan kepada kawan-kawan kerana sedia menerima dia seadanya di sebalik terlibat dalam perniagaan yang tidak halal mengikut hukum Islam.

Sementara itu meninjau ke ruangan komen, seorang wanita Cina memberitahu bahawa anaknya yang berusia tiga tahun juga sudah terjebak dengan lagu berkenaan.

Selain itu, ramai juga yang memberikan komen positif termasuk dalam kalangan orang Melayu yang menganggap ia adalah simbol perpaduan masyarakat pelbagai kaum di negara ini dalam meraikan kepelbagaian.

“Anak aku Cina umur 3 tahun lebih hafal lagu ni. Semalam pi Eco dia nyanyi kuat alamak-alamak. Mak cik yang Melayu senyum-senyum tengok dia,” komen Jocelyn.

“Jenuh kita nak balas balik untuk Tahun Baru Cina dengan Deepavali. Terima kasih sama-sama sambut hari raya bersama kami,” komen nazarina

“Macam ini bangga rakyat Malaysia yang berbilang kaum hidup penuh harmoni, hidup singkat jom sama-sama saling menghormati,” kata Roses pula.

Sebelum ini Lagu Alamak Raya Lagi dendangan kumpulan De Fam mencetuskan fenomena apabila sekumpulan gadis berbangsa India menggayakan baju kurung dan kebaya menari menggunakan lagu itu dalam aksi klip video hari raya sehingga sohor kini di TikTok.

Bukan itu sahaja, ia juga tersebar sehingga ke Jepun dan menjadi ‘trend’ dalam kalangan pengguna media sosial di negara matahari terbit itu.

BACA JUGA Malaysia dianggap ‘magnet rezeki’, banyak syarikat gergasi teknologi mula berpindah ke sini

Â