‘Turunkan Anwar atau kami…’, padah ugut Agong & PM, pekebun sawit didenda RM12,000
Seorang pekebun sawit dikenakan denda RM12,000 selepa didapati bersalah membuat hantaran bersifat mengancam kepada Yang di-Pertuan Agong menerusi Facebook, tahun lalu.
Hakim Mahkamah Sesyen Siti Aminah Ghazali memutuskan hukuman terhadap Samsuri Ramli, 45, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan.
Mahkamah juga memerintahkan Samsuri dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda terbabit.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi mengancam sifatnya dalam bentuk gambar bertulis ‘PN Best Amaran Anak Muda Kepada YDPA (Yang di-Pertuan Agong)’ dan ‘Turunkan Anwar Atau Kami Turunkan Agong’ dengan niat menyakitkan hati orang lain.
Kesalahan dilakukan melalui aplikasi Facebook dengan menggunakan profil ‘SamBanjar Perak’ pada jam 5.33 petang, 13 Ogos 2023, yang kemudian dibaca di sebuah kondominium di Jalan Tong Shin, Bukit Bintang, pada jam 9 malam hari sama.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya.
Tertuduh juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Terdahulu, Samsuri yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan atas alasan ada tanggungan ibu, isteri dan empat anak yang masih bersekolah.
“Saya anak peneroka yang bekerja di FELDA dengan pendapatan tidak tetap, ada kerja baru ada gaji,” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya, Nurilya Ellyna Nor Azmal, berkata tindakan dilakukan Samsuri tidak wajar dan tidak melambangkan kesetiaan serta kehormatan kepada raja, jadi hukuman setimpal sebagai pengajaran perlu dikenakan supaya masyarakat tidak ambil ringan penggunaan media sosial.
BACA JUGA PM Anwar utus salam takziah untuk keluarga mangsa nahas helikopter
Â