AMANAH optimis Perpaduan bakal tawan DUN Kuala Kubu Baharu

Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad optimis kerusi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) akan menjadi milik Perpaduan pada 11 Mei ini.

”PRK KKB yang akan datang ini kita mendapati potensi untuk Kerajaan Perpaduan menang adalah sangat tinggi.

”Ini kerana berdasarkan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan PRU16 serta Pilihan Raya Negeri (PRN), kita nampak undi untuk Pakatan Harapan (PH) dan Kerajaan Perpaduan bertambah.

”Walaupun undi Pas dan Barisan Nasional (BN) digabungkan, tetapi jumlah undi untuk calon PH ketika itu tetap mengatasi dan tetap boleh menang walaupun digabungkan antara UMNO dan BN dengan Perikatan Nasional (PN) waktu itu,” katanya dalam rancangan bual bicara di Jom Channel.

Rancangan bual bicara secara atas talian selama sejam itu mengupas tajuk ‘PRK KKB – Referendum Lagi?’.

Selain berpandukan kepada keputusan siri PRU yang lalu, Khalid turut ‘bercerita’ mengenai faktor lain yang dianggap berupaya memenangkan calon daripada Kerajaan Perpaduan pada PRK nanti.

”Lebih-lebih lagi apabila segala serangan yang mereka lakukan, orang kata macam surat khabar lama..

”Isu yang sama sahaja.. isu emosi.. tak ada perubahan dan sebagainya,” katanya lagi.

Untuk rekod, PRK DUN Kuala Kubu Baharu diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong yang mewakili PH pada 21 Mac lalu.

Pada pilihan raya negeri tahun lalu, Kee Hiong berjaya mempertahankan kerusi DUN itu dengan majoriti 4,119 undi apabila mengalahkan Teoh Kien Hong (Gerakan), Siva Prakash Ramasamy (MUDA) dan Chang Boon Lai (Parti Rakyat Malaysia).

Pengundian bagi PRK itu akan berlangsung pada 11 Mei depan, manakala hari penamaan calon akan diadakan pada 27 April.

BACA JUGA Selepas diminta diam fokus saja Kedah, pemimpin Pas yang suka nyanyi ini pun menjawab