Anak MB Perlis, pegawai kanan dicekup SPRM kes pemalsuan dokumen RM600,000

Anak kepada Menteri Besar Perlis dan orang kuat menteri besar dilapor direman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan pemalsuan dokumen tuntutan palsu berjumlah RM600,000.

Menurut Berita Harian yang memetik sumber, pegawai kanan pejabat Menteri Besar Perlis adalah antara enam yang ditahan.

Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Ana Rozana Mohd Nor selepas tertuduh dibawa ke mahkamah jam 8.45 pagi tadi.

“Suspek yang ditahan berusia antara 27 hingga 37 tahun dan dikehendaki membantu siasatan berkaitan pelaksanaan projek pembangunan prasarana seperti membaik-pulih, menyelenggara, perbekalan dan perkhidmatan di seluruh Perlis sejak 2022.

“Siasatan dipercayai juga menjurus kepada tuntutan palsu terhadap kerja yang tidak dilaksanakan.

“Suspek yang ditahan itu dipercayai berperanan sebagai pemilik syarikat, kontraktor dan penjawat awam di Pejabat Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri dan Pejabat Menteri Besar Perlis,” katanya seperti dilapor.

Beliau berkata, suspek ditahan antara jam 7 hingga 8 pagi semalam Perlis dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM Putrajaya, Datuk Azmi Kamaruzaman ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan.

BACA JUGA Dakwa loji air tak siap kerana Covid, setepek Akmal Nasir perli Sanusi

Â