Arsenal belasah Chelsea 5-0, perebutan juara EPL tambah sengit

Kai Havertz mengambil masa cukup lama untuk memenangi hati peminat Arsenal selepas berpindah dari Chelsea, tetapi kini ketajamannya di depan gawang terbukti selepas meledak dua gol ke atas bekas kelabnya.

Kai Havertz dan Ben White masing-masing meledak dua gol ketika Arsenal membelasah Chelsea 5-0 dan menjadikan perebutan juara Liga Perdana Inggeris (EPL) menjadi lebih sengit.

Lapor AFP, kemenangan itu membolehkan Arsenal mendahului liga dengan kelebihan tiga mata di depan Liverpool dan empat mata mengatasi Manchester City.

Bagaimanapun peluang kejuaraan terletak di tangan juara bertahan, City yang bermain kurang dua perlawanan berbanding Arsenal.

Liverpool juga kurang satu perlawanan di belakang pendahulu itu dan akan melengkapkannya di Everton malam ini.

Bagaimanapun Arsenal kendalian Mikel Arteta kini mengumpul perbezaan jaringan yang cukup besar untuk mengatasi dua pesaingnya itu sekiranya terikat pada kutipan mata.

Chelsea turun tanpa peledak utamanya, Cole Palmelr yang tidak disenaraikan akibat masalah kesihatan.

Palmer membantu hampir 50 peratus jaringan Chelsea dalam saingan Liga Perdana Inggeris musim ini dan ketiadaannya cukup dirasakan skuad kendalian Mauricio Pochettino.

Walaupun mengharungi musim pertama mengecewakan di bawah Pochettino, Chelsea masih belum tewas dalam lapan perlawanan liga berturut-turut sebelum disingkirkan Manchester City pada separuh akhir Piala FA di Wembley, Sabtu lalu.

Tetapi Arsenal yang lebih terluka selepas peluang kejuaraan mereka terjejas akibat kekalahan kepada Aston Villa, menjadikan Chelsea sebagai mangsa di Emirates.

Tuan rumah mendahului hanya selepas lima minit menerusi Trossard yang meledak gol liga ke-15nya musim ini.

Penjaga gol Chelsea, Djordje Petrovic menebus kesilapannya dengan menafikan percubaan Havertz dan Trossard untuk hanya ketinggalan 1-0 sebelum rehat.

Penjaga gol Serbia itu juga memastikan jurang kekal di awal babak kedua apabila menyelamatkan percubaan Declan Rice dan Havertz.

Bagaimanapun pesta gol Arsenal bermula apabila White menambah jaringan tuan rumah pada minit ke-52.

Havertz kemudian menemui sasaran selepas mendapat lorongan Martin Odegaard.

Dia meledak gol keduanya hasil hantaran Bukayo Saka untuk gol ketujuh dalam 14 penampilan terakhir kelab.

White melengkapkan kemenangan Arsenal dengan jaringan menarik selepas mendapat hantaran daripada Odegaard.

Chelsea kekal di tangga kesembilan, tiga mata di bawah kelayakan Eropah.

Arsenal akan berdepan cabaran Tottenham Hotspur pada Ahad ini. 

BACA JUGA Lelaki tergamak hina mangsa nahas helikopter, siap ‘spin’ cerita bila dah kena kecam