Lelaki tergamak hina mangsa nahas helikopter, siap ‘spin’ cerita bila dah kena kecam

Seorang individu teruk dikecam selepas bertindak tidak sensitif, meremehkan perajurit yang terkorban di dalam nahas helikopter yang berlaku semalam.

Individu tersebut meninggalkan komen berbaur jelek yang menghina kematian mereka dengan menulis; “Baru raptai dah mam***. Tak sempat nak perang”.

Ciapan itu ditinggalkan pada sebuah video ketika detik-detik dua buah helikopter berlanggar sesama sendiri semasa sedang menjalani latihan sambutan Hari Terbuka Armada TLDM yang dijangka berlangsung Sabtu ini.

Perkara itu mendapat perhatian orang ramai yang mahu pemilik akaun tersebut dikenakan tindakan tegas kerana tidak menghormati nahas mangsa kejadian.

Begitupun selepas ciapannya tersebar di media sosial, lelaki tersebut tampil dengan kenyataan baru yang menjelaskan bahawa ada maksud tersirat di sebalik komentarnya.

Dalam permohonan maafnya, lelaki itu mendakwa dia tidak berniat untuk menghina mahupun mencaci prajurit yang terkorban, namun dia cuma mengharapkan prajurit negara sekiranya terkorban bukan dalam keadaan sedemikian rupa.

“Salam semua, saya mohon maaf sekiranya bahasa yang telah digunakan agak kasar. Ini sebenarnya isi tersirat di sebalik komen saya sebelum ini.

“Innalilillahiwainnailaihi raji’un, takziah kepada mangsa dan keluarga mangsa. Semoga selepas ini perkara seperti ini dapat dielakkan daripada berulang di masa hadapan, selepas punca sebenar diketahui dan langkah-langkah pencegahan dapat diambil, agar tujuan mereka berkhidmat dapat dicapai dan nyawa tidak disia-siakan,” kata individu tersebut.

Bagaimanapun penjelasannya yang hanya menegakkan benang yang basah, lebih memburukkan keadaan.

Warga maya menganggap perkataan “mampos” yang digunakan lelaki itu ketika menggambarkan kematian para prajurit negara, langsung tidak mempunyai makna tersirat yang baik.

Malah ayat itu lebih kepada menghina dan mencaci.

Pengguna media sosial juga berpakat mencari maklumat individu itu dan mendedahkan semua akaun media sosial lelaki itu.

“Dasar kaki spin .Apa yang kau tulis tak melambangkan langsung apa yang kau huraikan. Shame on you. Sampah!,” kata Haziq di X.

Untuk rekod, identiti 10 kru yang terkorban dalam nahas dua helikopter terhempas di Pangkalan TLDM telah dikenalpasti, membabitkan tujuh lelaki dan tiga wanita yang merupakan anggota dari Pangkalan TLDM Lumut dan Kota Kinabalu.

BACA JUGA Bursa Malaysia naik ketara, apa maknanya?