PRK KKB: Pang Sock Tao sah calon wakili Kerajaan Perpaduan

Pang Sock Tao diumum sebagai calon untuk mewakili Kerajaan Perpaduan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu (KKB).

Pengumuman oleh Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke itu berlangsung di Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kubu Bharu sebentar tadi.

Sock Tao, 31, merupakan Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.

Calon Perpaduan ini adalah pemegang Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik dari Universiti Tenaga Nasional (Uniten) pada 2017.

Beliau yang pernah berkhidmat sebagai Pegawai Tugas-tugas Khas kepada Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin berpengalaman selama enam tahun dalam bidang politik.

Wanita berasal dari Ampang berkenaan diyakini dapat menyambung legasi khidmat cemerlang mendiang Lee Kee Hiong yang menjadi wakil rakyat di DUN itu selama tiga penggal.

Pang Sock Tao

PRK DUN Kuala Kubu Baharu diadakan berikutan kematian Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lalu akibat kanser.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun lalu, Kee Hiong mempertahankan kerusi itu dengan majoriti 4,119 undi.

Beliau menewaskan Teoh Kien Hong (Gerakan), Siva Prakash Ramasamy (Muda) dan Chang Boon Lai (Parti Rakyat Malaysia).

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 11 Mei sebagai hari pengundian dan 27 April ini sebagai hari penamaan calon.

Hari pengundian awal pula dijadualkan pada 7 Mei dengan tempoh berkempen selama 14 hari.

BACA JUGA AMANAH optimis Perpaduan bakal tawan DUN Kuala Kubu Baharu

Â