PRK KKB: PH umum calon malam ini

Pakatan Harapan (PH) akan mengumumkan calon dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) malam ini.

Menerusi maklumat yang disebar kepada media, pengumuman calon dijadualkan berlangsung pukul 9.45 malam.

Sebelum itu, siri ucapan daripada pemimpin daripada komponen PH dijangka bermula jam 8.40 malam.

Antara pemimpin utama PH yang bakal menyampaikan ucapan ialah Pengerusi PH Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Pengerusi DAP Selangor, Gobind Singh Deo dan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke.

Seterusnya, PH juga akan melancarkan Bilik Gerakan Utama N06 Kuala Kubu Baharu.

Pengumuman itu akan diadakan di Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kubu Baharu.

Kerusi DUN Kuala Kubu Baharu diisytiharkan kosong selepas Lee Kee Hiong daripada DAP meninggal dunia pada 21 Mac lalu akibat kanser.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun lalu, Kee Hiong mempertahankan kerusi itu dengan majoriti 4,119 undi.

Beliau menewaskan Teoh Kien Hong (Gerakan), Siva Prakash Ramasamy (Muda) dan Chang Boon Lai (Parti Rakyat Malaysia).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei depan dengan 27 April sebagai hari penamaan calon.

Proses pengundian awal pula dijadualkan pada 7 Mei manakala tempoh berkempen selama 14 hari.

BACA JUGA AMANAH optimis Perpaduan bakal tawan DUN Kuala Kubu Baharu