Lelaki hina korban nahas helikopter disiasat polis

Individu yang mengeluarkan komentar jelik berhubung tragedi dua helikopter terhempas di Kem Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Lumut, Perak sedang disiasat.

Polis telah membuka kertas siasatan terhadap pemilik akaun media sosial X atas nama Saifuddin Shafik.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, kertas siasatan itu juga dirujuk ke Pejabat Peguam Negara selari peruntukan Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan.

Jelasnya, sebuah telefon bimbit jenis iPhone 12 Pro dipercayai digunakan untuk membuat hantaran itu turut dirampas.

“Siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan/Undang-undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1995, Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, tular tangkap layar lelaki berkenaan yang menulis: “Baru raptai dah mam***. Tak sempat nak perang”.

Dia kemudiannya mengeluarkan kenyataan permohonan maaf sambil menjelaskan bahawa terdapat maksud tersirat di sebalik komennya.

Walau bagaimanapun, cubaan dia menegakkan benang yang basah mengundang lebih banyak kecaman.

Rata-rata menyifatkan perkataan “mampos” yang digunakan lelaki itu ketika menggambarkan kematian para prajurit negara sama sekali tidak mempunyai makna tersirat yang baik.

Dalam masa sama, Mohd Shuhaily berkata, polis turut menasihati orang ramai supaya tidak membuat ulasan atau spekulasi demi menjaga sensitiviti keluarga mangsa terbabit.

“Turut diingatkan agar semua cakna dan prihatin terhadap isu-isu sensitif terutama membabitkan kegentaran awam melalui media sosial dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menjejaskan ketenteraman awam dan keselamatan negara,” katanya lagi.

BACA JUGA Lelaki tergamak hina mangsa nahas helikopter, siap ‘spin’ cerita bila dah kena kecam