Adaptasi teknologi moden, AI penting tingkatkan pengeluaran bekalan makanan

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan mengenai kepentingan pengekalan dan pemeliharaan guna tanah kawasan sumber makanan negara.

Ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) Ke-44 di Putrajaya hari ini, beliau turut menekankan pentingnya mengadaptasi penggunaan teknologi moden dan kecerdasan buatan (AI) dalam meningkatkan produktiviti pengeluaran bekalan makanan.

”Sayugia, MPFN Ke-44 kali ini telah mempertimbangkan dan telah bersetuju meluluskan satu dasar utama berkaitan perancangan bandar dan desa iaitu Pelan Induk Perancangan Guna Tanah Kawasan Sumber Makanan Negara (KAGUMN).

”Pelan induk itu merupakan antara tindakan intervensi bagi mengurangkan kebergantungan kepada produk makanan import, selain meningkatkan kemandirian negara dalam aspek bekalan makanan untuk dilaksanakan oleh semua pihak berkepentingan terutama pihak Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dan agensi di bawahnya serta pihak berkuasa negeri,” katanya dalam satu catatan di Facebook sebentar tadi.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, mesyuarat yang sama hari ini turut menimbang dan bersetuju terhadap Garis Panduan Pelaksanaan Pembaharuan Semula Bandar (GPP PSB).

Katanya, ia bertujuan memberi panduan dan rujukan kepada Kerajaan Persekutuan, pihak berkuasa negeri, pihak berkuasa tempatan, pemaju hartanah dan pihak berkepentingan yang ingin memajukan atau membangunkan semula kawasan penempatan yang terpinggir, usang dan tidak ekonomik untuk meningkatkan imej dan reka bentuk bandar.

”Pembaharuan semula bandar ini perlu mengambil kira kesenjangan yang berlaku terutamanya terkait dengan aspek perumahan, pemuliharaan bangunan warisan bagi mengekalkan identiti kota serta turut memberi penekanan tentang pegangan hak milik Bumiputera seperti yang diumumkan Kerajaan bagi pembangunan di Sungai Besi dan Skim Perumahan Madani,” ujar Anwar lagi.

BACA JUGA Sistem Saraan Perkhidmatan Awam terbaik pernah diperkenalkan kerajaan bakal diumum