Tragedi helikopter Lumut: KPT salur bantuan untuk anak-anak perajurit negara

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan menyalurkan beberapa insentif bagi membantu meringankan beban keluarga mangsa nahas helikopter di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut, Perak semalam.

Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, antara insentif berkenaan adalah memberi RM1,000 kepada setiap anak-anak wira dan wirawati negara yang masih bersekolah iaitu seramai 21 orang.

”Bantuan itu akan dimasukkan melalui Tabung Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN).

”KPT juga akan menanggung segala perbelanjaan yuran pengajian sehingga tamat belajar untuk Nurul Shahfiqah Mohd Shahrizan.

”Nurul Shahfiqah merupakan pelajar Tahun 1 Sarjana Muda Keusahawanan), Universiti Malaysia Kelantan (UMK),” katanya dalam satu hantaran di Facebook malam tadi.

Dalam hantaran sama, Zambry memaklumkan bahawa, sumbangan wang ehsan juga akan diberikan kepada 10 keluarga wira dan wirawati negara yang terkorban.

Terdahulu, beliau yang juga Ahli Parlimen Lumut hadir ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh bagi memberi penghormatan terakhir kepada wira dan wirawati negara yang terkorban dalam nahas di Lumut semalam.

”Alhamdulillah selesai proses ‘post-mortem’ sebentar tadi dan kesemua jenazah yang beragama Islam telah dibawa ke Kem 23 Rejimen Askar Melayu Diraja, Ipoh untuk solat jenazah sebelum dibawa ke tempat pengebumian masing-masing.

”Saya berpeluang bersama dengan Anggota TLDM yang majoritinya adalah rakan sekerja mereka yang terkorban dan juga ahli-ahli keluarga arwah di Surau Kem 23 Rejimen Askar Melayu Diraja, Ipoh. Suasana sayu dan pilu menyelubungi persekitaran surau,” katanya.

Solat jenazah itu turut dihadiri oleh timbalannya, Adly Zahari.

BACA JUGA Nahas helikopter TLDM, ini jumlah bantuan awal disalurkan kerajaan