Dakwaan kasino akan beroperasi di Johor: Ini penjelasan MB

Menteri Besar Johor menegaskan tidak akan ada mana-mana kasino beroperasi di negeri itu termasuk di Forest City, Johor Bahru.

Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, khabar angin yang tular itu berunsur sabotaj dan berniat jahat untuk mencemar imej Forest City dan Johor secara keseluruhannya.

“Untuk makluman, Kerajaan Negeri Johor juga tidak pernah menerima jemputan bagi sebarang perbincangan berhubung perkara ini, apatah lagi terlibat atau dirujuk mengenainya.

“Kerajaan negeri juga tidak menerima sebarang cadangan mahupun menghadiri mana-mana mesyuarat yang membincangkan perkara sama.

“Sejarah jelas membuktikan bahawa sejak zaman pemerintahan Almarhum Sultan Sir Ibrahim lagi, tiga kasino di Johor telah ditutup.

“Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim juga telah bertitah bahawa Baginda tidak membenarkan pembukaan mana-mana kasino di negeri Johor.

“Ini jelas menunjukkan pendirian Johor berhubung perkara ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, media yang memetik Bloomberg melaporkan Malaysia sedang berunding dengan beberapa taikun untuk membina kasino di Forest City.

Bloomberg memetik sumber yang mendakwa bahawa Perdana Menteri telah bertemu dua hartawan terkemuka pada minggu lalu bagi membincangkan rancangan membuka kasino di Forest City.

Mengulas lanjut, Onn Hafiz berkata, Kerajaan Negeri berharap isu berkenaan tidak lagi dipanjangkan dan dimomokkan sehingga menjejaskan kerukunan, nama baik negeri, negara, serta keharmonian masyarakat pelbagai kaum.

“Seperti yang pernah dinyatakan sebelum ini, Kerajaan Negeri Johor yakin bahawa Forest City akan diberikan nafas baharu dan kegiatan ekonomi akan bertambah rancak dengan pembangunan Zon Kewangan Khas (SFZ) dan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ),” katanya lagi.

BACA JUGA Kes ustaz di pusat tahfiz liwat pelajar bukan isu terpencil, Maszlee saran wujudkan akta khusus

Â