Kes ustaz di pusat tahfiz liwat pelajar bukan isu terpencil, Maszlee saran wujudkan akta khusus

Bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik menyarankan agar kerajaan mewujudkan satu akta khusus bagi mengawasi pusat tahfiz dan pondok memandangkan isu ustaz meliwat pelajar bukan isu terpencil.

Beliau yang juga bekas Ahli Parlimen Simpang Renggam berpendapat sebuah perbadanan di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) ditubuhkan untuk tujuan tersebut.

“Dasar Tahfiz negara yang pernah dibincangkan dahulu boleh menjadi batu loncatan untuk akta ini.

“Kita perlu kawal penggunaan gelaran pelbagai yang digunakan oleh operator tahfiz dan pondok demi mengelakkan banyak lagi salah laku dan demi mengawal kesucian pusat tahfiz dan pondok,” katanya menerusi platform X.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada laporan berita mengenai penahanan seorang ustaz di sebuah pusat tahfiz di Machang, Kelantan kerana disyaki meliwat tiga pelajar, sejak dua tahun lalu.

Kesemua mangsa berusia 12 hingga 13 tahun diminta untuk melakukan perbuatan itu oleh suspek di pusat tahfiz.

Mengulas lanjut, Maszlee yang juga ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Keadilan menegaskan pusat-pusat tahfiz bukan di bawah seliaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“Ini bukan isu terpencil. Sudah acapkali berlaku. Ada yang dilaporkan, dan banyak yang didiamkan. Ada yang telah berjaya didakwa dan banyak yang takut untuk melaporkan.

“Ada pihak yang menyalahkan KPM. Hakikatnya, pusat-pusat tahfiz dan pondok bukan di bawah kawalan KPM.

“Tiada peruntukan perundangan, polisi dan badan penguatkuasa profesional untuk mengawal kualiti, etika dan juga tahap profesionalisme tahfiz dan pondok,” ujarnya.

Dalam masa sama, beliau menyeru agar lebih ramai mangsa di pusat tahfiz agar tidak takut dan malu untuk tampil membuat laporkan polis jika berlaku jenayah seksual.

BACA JUGA Puak Khawarij terus sebar fitnah walaupun PMX kata itu tipu