Doktor teramat letih berseorangan jaga wad lebih seminggu, ini reaksi menteri

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad kini sudah mengarahkan kepimpinan kementeriannya di peringkat pusat dan negeri, untuk memantau situasi sumber tenaga di hospital-hospital di negara ini.

Ia berikutan rungutan seorang pengamal perubatan di laman X, yang menyifatkan dirinya umpama sudah ‘keletihan’ menjaga wad kira-kira satu minggu lebih secara berseorangan.

Wanita itu mendakwa, seorang demi seorang doktor pelatih (houseman@HO) yang ada ketika ini, telah mengambil keputusan untuk meninggalkan kerjaya berkenaan.

Dalam ciapannya di platform X, beliau bertanya berhubung penambahan doktor pelatih di hospital-hospital daerah dengan meletakkan tanda @KKMPutrajaya dan @DrDzul.

Sehubungan pertanyaan itu, Dr Dzulkefly memberi respon dengan berkata, jika terdapat keperluan, tindakan-tindakan yang telah dibuat melibatkan penempatan dan cara kerja Pegawai Perubatan Siswazah (PPS), perlu dinilai semula.

”Negara kita pernah melalui masa apabila graduan perubatan mencecah 6,000 hingga 7,000 setahun.

”Kini jumlah graduan kita sikit iaitu lebih 3,000 orang menyebabkan jumlah PPS di hospital semakin jauh berkurang.

”Maka yang bekerja sekarang merasa terbeban dengan bebanan kerja dan kekurangan anggota,” jelas beliau.

Menurut Dr Dzulkefly yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor, perubahan dan penambahbaikan yang lebih tuntas akan mengambil sedikit masa.

”Perubahan dan penambahbaikan juga memerlukan penglibatan pemegang taruh yang lain yang sedang dirunding sebagai contoh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

”Bersama kepimpinan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memerhati situasi ini dengan rapat dan sangat sedar serta insaf dengan bebanan kerja kakitangan di sektor kesihatan,” ujar beliau lagi

BACA JUGA Kali pertama bertemu Fahmi, ini kata Dr Maza

Â