Gempar tiga pelajar pusat tahfiz kena liwat, ustaz ditahan polis

Polis menahan seorang ustaz sebuah pusat tahfiz di Machang, Kelantan kerana disyaki meliwat tiga pelajar sejak dua tahun lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Machang, Superintendan Ahmad Shafiki Hussin, pihaknya menerima laporan daripada tiga mangsa yang berusia 12 hingga 13 tahun pada 15 April lalu, lebih kurang jam 12.56 tengah malam.

Beliau menjelaskan hasil siasatan mendapati kesemua mangsa diminta untuk melakukan perbuatan itu oleh suspek di pusat tahfiz.

“Suspek berusia 39 itu kemudiannya ditangkap untuk membantu siasatan.

“Suspek ditahan selama seminggu bermula 16 sehingga 22 April dan disambung reman pada 23 hingga 29 April ini,” katanya menerusi satu kenyataan media, hari ini.

Kes menggemparkan itu disiasat mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan kerana meliwat.

Dalam masa sama, Ahmad Shafiki berkata, pihak polis menasihati orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi sehingga siasatan kes ini selesai dijalankan.

BACA JUGA Walau Pas Kelantan buat solat sunat Istisqa di seluruh 14 kawasan parlimen, penduduk akui ini kemarau paling teruk