Pas Kelantan buat solat sunat Istisqa di seluruh 14 kawasan parlimen, penduduk akui ini kemarau paling teruk

Walaupun Pas Kelantan melakukan solat sunat Istisqa secara serentak di 14 kawasan parlimen, telaga masih kering kontang dan hasil padi musnah sepenuhnya.

Itu dialami penduduk di Kampung Melor Lama, Kota Bharu yang menyifatkan kemarau kali ini adalah paling teruk dialami sejak 20 tahun.

Imam Muda Masjid Mukim Haji Hussin, Melor Lama, Ahmad Rosli Mohamad, berkata kerana cuaca panas itu, penduduk sepakat mengadakan solat sunat hajat istisqa’ memohon hujan.

Jelasnya, solat sunat membabitkan 200 penduduk itu diadakan di sawah Melor Lama memandangkan kebanyakan masyarakat setempat mengusahakan tanaman padi sebagai sumber rezeki.

“Cuaca kali ini paling teruk dalam sejarah, telaga menjadi kering, tanaman padi tak dapat diambil hasil.

“Kita solat sunat memohon Allah SWT menurunkan hujan bagi mengatasi kemarau yang berpanjangan ini,” lapor BH yang ditemui dalam program solat hajat itu di Kampung Melor Lama, hari ini.

Ahmad Rosli (depan) mengetuai solat sunat hajat bagi memohon hujan di bendang Kampung Melor Lama.

Untuk rekod, Pas Kelantan melakukan solat sunat Istisqa secara serentak di 14 kawasan parlimen dua minggu lalu.

Timbalan Pesuruhjaya Pas II negeri, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, solat sunat itu merupakan sebahagian daripada ikhtiar pihaknya bersama kerajaan negeri untuk memohon rahmat Allah supaya menurunkan hujan.

Mohd Amar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panchor itu turut berpendapat keadaan kemarau dan fenomena El Nino yang melanda Kelantan agak luar biasa terutama mencatatkan suhu lebih panas berbanding di Mekah.

Mengulas lanjut, Ahmad Rosli berkata, kira-kira 30 orang penduduk di kampung itu mengusahakan tanaman padi yang menjadi pekerjaan warisan keluarga.

Sementara itu, petani, Mohd Zain Senik, 67, berkata, musim ini dia hanya mampu mengutip satu pertiga daripada 12 ekar tanaman padi yang diusahakan.

Beliau berkata, biasanya dia mampu mengutip hasil RM100,000 namun kali ini mengalami kerugian lebih RM80,000.

“Tahun ini kali pertama saya alami kerugian seteruk ini, modal nak tanam semula padi tak tahu nak ambil mana.

“Sepatutnya dah boleh hasil, tapi padi menjadi ‘hampa’ kerana sawah terlalu kering, paling teruk sejak saya tanam padi 20 tahun lalu,” kata Mohd Zain lagi, lapor BH.

BACA JUGA Kali pertama bertemu Fahmi, ini kata Dr Maza