Misi ‘Freedom Flotilla to Gaza’ ditunda buat kali ketiga

Cubaan secara berterusan rejim Israel menghalang pergerakan kapal yang terlibat dalam pelayaran ‘Break The Siege: Freedom Flotilla to Gaza’, membuatkan misi kemanusiaan itu ditangguh lagi, kata Gabungan Freedom Flotilla (FFC).

FFC mendakwa, rejim Zionis sedang memberi tekanan hebat kepada Republik Guinea Bissau untuk menarik balik benderanya daripada kapal utama yang digunakan dalam misi ini iaitu Akdeniz.

“Hari ini kami menerima maklumat mengenai halangan terbaharu oleh Israel dalam cubaan untuk menghalang keberangkatan kami.

“Israel sedang menekan Republik Guinea Bissau untuk menarik balik benderanya dari kapal utama kami, Akdeniz (Mediterranean), kapal penumpang yang menyertai misi ini,” maklum FFC lapor BH.

Jika Republik Guinea Bissau akur, maka kapal penumpang Akdeniz tidak boleh memulakan pelayaran.

Ini kerana mengikut undang-undang, sepanjang pelayaran setiap kapal yang memasuki perairan antarabangsa perlu mengibarkan bendera negara di mana kapal itu didaftarkan.

”Ini mencetuskan permintaan untuk pemeriksaan tambahan, kali ini oleh Republik Guinea Bissau, yang menyebabkan keberangkatan kami yang dirancang pada 26 April terpaksa ditangguh.

“Ini antara contoh halangan yang sengaja dilakukan Israel terhadap penghantaran bantuan kemanusiaan kepada penduduk di Gaza dan ini bukan kali pertama rejim Zionis cuba melakukannya,” kata FFC lagi.

Semalam, Jawatankuasa Pemandu FFC, Zohar Chamberlain-Regev memaklumkan bahawa segala keperluan bagi menjayakan misi itu sudah dilengkapkan, seterusnya menjangkakan kapal akan mula belayar hari ini.

Sebelum ini, misi tersebut dijadual belayar ke Gaza pada 12 April lalu, namun ditunda kelmarin dan terbaharu ia dijadual belayar pada hari ini, tetapi sekali lagi ditangguhkan.

Ketika ini, seramai 19 warga Malaysia menyertai masyarakat awam antarabangsa dalam misi yang menggunakan jalan laut itu.

Mereka yang terdiri daripada doktor, aktivis kemanusiaan dan pengamal media belayar menaiki flotila bagi menyampaikan bantuan kemanusiaan kepada mangsa di rantau berkenaan.

Aktivis dari 30 negara termasuk Malaysia kini berkumpul di Istanbul sejak 18 April lalu untuk persiapan akhir sempena misi tersebut.

BACA JUGA Selepas dua kali ditunda, misi ke Gaza dijadual belayar esok