PRK KKB: Petugas bersedia, persiapan hampir lengkap menjelang penamaan calon esok

“InsyaAllah semua petugas pilihan raya berada dalam keadaan bersedia,” itu kata Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Yuhanas Auree Kamaruddin.

Esok merupakan hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu, Hulu Selangor.

Menurut Yuhanas, Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor yang bakal dijadikan pusat penamaan calon esok, kini sudah 90 peratus siap.

”Persiapan pada hari ini pun hampir sempurna,” katanya lapor Bernama.

Katanya, bakal calon juga dinasihatkan agar memastikan semua dokumen yang diperlukan adalah lengkap.

Hal tersebut penting diberi perhatian bagi mengelakkan sebarang masalah ketika proses penyerahan borang pencalonan.

Sementara itu, Kementerian Komunikasi dengan kerjasama Jabatan Penerangan (Japen) juga akan membuka pusat media sempena PRK itu.

Kementerian Komunikasi memaklumkan, pusat media terletak di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Pekan KKB, Aras 1, Bangunan UMNO Hulu Selangor, Jalan Pahang.

Katanya, pusat media itu akan mula beroperasi esok hingga 11 Mei, dari jam 9 pagi hingga 9 malam.

”Wakil-wakil media dijemput untuk menggunakan kemudahan yang disediakan, serta mendapatkan maklumat di pusat media tersebut,” menurut kenyataan itu.

Sebarang pertanyaan boleh hubungi Muhamad Hikal Aripin di talian 012-3420989 dan Muhammad Faiz Amzar Mohd Arif di talian 012-3677134.

Untuk rekod, PRK DUN Kuala Kubu Baharu diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong yang mewakili PH pada 21 Mac lalu.

Pada pilihan raya negeri tahun lalu, Kee Hiong berjaya mempertahankan kerusi DUN itu dengan majoriti 4,119 undi apabila mengalahkan Teoh Kien Hong (Gerakan), Siva Prakash Ramasamy (MUDA) dan Chang Boon Lai (Parti Rakyat Malaysia).

Pengundian bagi PRK itu akan berlangsung pada 11 Mei depan, manakala hari penamaan calon akan diadakan esok.

BACA JUGA AMANAH optimis Perpaduan bakal tawan DUN Kuala Kubu Baharu