Selepas dua hari direman, apa berlaku pada menantu Presiden Pas?

Selepas direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak 24 April lalu, anak lelaki Menteri Besar Perlis dilepaskan dengan jaminan SPRM hari ini.

Suspek juga merupakan menantu kepada Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Empat individu lain yang turut ditahan bagi membantu siasatan dalam kes mengemukakan tuntutan palsu bernilai RM600,000 juga dilepaskan.

Difahamkan, kesemua suspekberusia 27 hingga 37 tahun itu dilepaskan dengan jaminan RM10,000 dan perlu melaporkan diri di pejabat SPRM setiap bulan.

Terdahulu, SPRM menahan enam individu dipercayai terlibat dengan kes tersebut, ketika hadir bagi dirakamkan keterangan di Pejabat SPRM Perlis.

Kesemua suspek ditahan kerana disyaki mengemukakan tuntutan palsu membabitkan pelaksanaan projek pembangunan prasarana seperti membaik pulih, menyelenggara, pembekalan dan perkhidmatan di seluruh Perlis sejak 2022.

Sementara itu, peguam yang mewakili kesemua suspek, Mohd Fadhly Yaacob dilapor BH berkata, pihak SPRM bebas untuk memanggil semula anak guamnya untuk melengkapkan siasatan sekiranya ada keperluan.

BACA JUGA Dakwaan kasino akan beroperasi di Johor: Ini penjelasan MB