UPM tuai padi varieti rintang kemarau

Sekumpulan penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menuai padi varieti baharu rintang kemarau dan berkualiti tinggi berskala besar di bendang Kampung Muring, Kelantan, semalam.

Penyelidikan bersama antara Institut Pertanian Tropika dan Sekuriti Makanan (ITAFoS) dan Fakulti Pertanian (FP) itu menghasilkan benih Climate Ready (CR).

Penyelidiknya, Dr Zulkarami Berahim berkata, benih padi jenis CR itu adalah bersifat lebih tahan lasak.

”Varieti baharu yang ditanam di Lembaga Kemajuan Kemubu (KADA) ini dipanggil Putra CR

”Varieti ini memiliki ciri yang tahan kemarau dan juga berhasil tinggi,” katanya dalam satu video pendek dimuat naik di Facebook Universiti Putra Malaysia (UPM).

Pautan video tersebut turut dikongsi oleh Pengerusi KADA, Muhammad Husin di laman sosialnya itu.

Dalam video sama, seorang penduduk menzahirkan rasa bangga dengan inisiatif universiti itu menghasilkan benih padi yang tahan kemarau.

Pengerusi KADA, Muhammad Husin dilapor berkata, kerjasama antara pihak UPM dan pesawah di Kelantan memberi nafas baharu kepada pesawah untuk mengusahakan tanaman padi seterusnya menyokong agenda keterjaminan makanan.

”Saya amat bersyukur dan seronok melihat kepada padi yang kuning penuh dan hidup dalam keadaan subur walaupun tali air kering hasil penanaman padi varieti CR ini.

“Saya yakin hasil untuk benih padi tahan kemarau ini dapat membantu petani hadapi kemarau,” ujar beliau.

BACA JUGA Walau Pas Kelantan buat solat sunat Istisqa di seluruh 14 kawasan parlimen, penduduk akui ini kemarau paling teruk