AMANAH Selangor kerah jentera, pastikan DUN KKB milik Perpaduan

Semua jentera pilihan raya dan ahli AMANAH di seluruh Selangor dikerah untuk membantu jentera Pakatan Harapan (PH) bagi memastikan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu menjadi milik Perpaduan.

Pengarah Komunikasi AMANAH Selangor, Abbas Azmi berkata, pihaknya bersama jentera tempatan sudah mengenal pasti sasaran dan gerak kerja seawal tiga minggu yang lalu di DUN berkenaan.

”Persiapan telah dilakukan dan bilik gerakan utama juga telah dibuka. Komitmen kami adalah untuk memastikan gerak kerja jentera pilihan raya yang terbaik.

”Ia bertujuan untuk memastikan kejayaan kerusi DUN KKB ini kekal bersama PH dan Kerajaan Perpaduan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pang Sock Tao

Dalam kenyataan sama, Abbas turut menegaskan bahawa pihaknya tidak akan sesekali membiarkan kebobrokan yang telah dilakukan Perikatan Nasional (PN) selama ini, menular di Selangor.

”Isu 3R (agama, kaum dan raja) yang selalu dimainkan PN yang berniat bagi memecah belahkan masyarakat dan menganggu gugat keharmonian tidak boleh dibiarkan di Selangor yang bertuah ini.

”Keharmonian dan perpaduan masyarakat yang ada di Selangor wajib dipelihara dan kemenangan di kerusi DUN KKB akan menjadi isyarat jelas kepada PN bahawa rakyat di negeri ini tidak lagi menerima politik adu bomba dan tohmahan dimainkan mereka selama ini,” ujar beliau lagi.

Untuk rekod, PRK DUN KKB kali ini akan menyaksikan persaingan empat penjuru calon bertanding.

Mereka terdiri daripada dua pesaing utama iaitu Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Pang Sock Tao mewakili Perpaduan dan Pemangku Ketua Bahagian Bersatu Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut daripada PN.

Dua lagi calon yang akan berebut kerusi di utara Selangor itu adalah Hafizah Zainuddin dari Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan calon Bebas, Nyau Ke Xin.

PRK diadakan susulan kematian penyandang daripada DAP, Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lalu akibat kanser.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 11 Mei depan, manakala pengundian awal pada 7 Mei.

BACA JUGA Tempoh 14 hari kempen PRK KKB: Apa kata Saifuddin?