Calon muda Perpaduan mampu tawan PRK KKB

Calon Kerajaan Perpaduan daripada DAP, Pang Sock Tao diyakini mampu menawan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 11 Mei nanti.

Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu menyifatkan, semua pihak perlu bekerja keras untuk memastikan kerusi DUN itu menjadi milik Perpaduan.

”Saya lihat hari ini ramai pimpinan Kerajaan Perpaduan turun memberikan sokongan kepada calon yang kita ketengahkan.

”Saya yakin calon muda yang diketengahkan oleh Kerajaan Perpaduan ini akan memperolehi kemenangan pada hari pengundian nanti,” katanya dalam satu catatan di Facebook beliau.

Terdahulu, Mohamad yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan mengadakan lawatan ke Bilik Operasi AMANAH di Kuala Kubu Baharu dan Kampung Air Jernih.

Menerusi pemerhatian, beliau berkata segala persediaan telah dijalankan dengan rapi oleh parti itu.

Katanya, jentera AMANAH dari seluruh negara akan mula berkampung di Kuala Kubu Baharu sehingga hari pengundian iaitu 11 Mei depan.

Untuk rekod, PRK kali ini akan menyaksikan pertembungan empat penjuru.

Mereka terdiri daripada dua pesaing utama iaitu Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Pang Sock Tao mewakili Perpaduan dan Pemangku Ketua Bahagian Bersatu Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut dari Perikatan Nasional (PN).

Dua lagi calon yang akan berebut kerusi di utara Selangor itu adalah Hafizah Zainuddin dari Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan calon Bebas, Nyau Ke Xin.

PRK diadakan susulan kematian penyandang daripada DAP, Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lalu akibat kanser.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK itu pada 11 Mei, manakala pengundian awal pada 7 Mei.

BACA JUGA Pertembungan empat penjuru di PRK DUN Kuala Kubu Baharu