Pertembungan empat penjuru di PRK DUN Kuala Kubu Baharu

Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei ini menyaksikan pertembungan empat penjuru.

Pang Sock Tao

Mereka terdiri daripada dua pesaing utama iaitu Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Pang Sock Tao mewakili Perpaduan dan Pemangku Ketua Bahagian Bersatu Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut dari Perikatan Nasional (PN).

Dua lagi calon yang akan berebut kerusi di utara Selangor itu ialah Hafizah Zainuddin dari Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan calon Bebas, Nyau Ke Xin.

Pengumuman itu dibuat oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Yuhanas Auree Kamaruddin, di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor pagi ini.

Dalam masa sama, beliau memaklumkan seorang calon Bebas, Chng Boon Lai menghantar borang tetapi menarik semula permohonan berkenaan pada saat akhir.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh berkempen selama 14 hari bermula hari ini hingga 11.59 malam pada 10 Mei dengan pengundian awal pada 7 Mei.

Terdapat 40,226 orang pemilih, masing-masing 39,362 pengundi biasa, manakala tentera dan pasangan (238), polis (625) dan seorang pengundi tidak hadir luar negara.

PRK DUN KKB diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser.

DUN Kuala Kubu Baharu terdiri daripada 46.4 peratus pengundi Melayu; Cina (30.7 peratus), India (18 peratus) dan lain-lain (5 peratus).

Kawasan yang terletak di bawah Parlimen Hulu Selangor itu mula diwakili MCA sejak 1974 dan selama satu penggal dirampas DAP pada 1978 hingga 1982 sebelum terus menerus dikuasai MCA.

Hanya pada 2013, DUN itu berjaya dirampas DAP oleh mendiang Kee Hiong dan dipertahankan sehingga ke akhir hayatnya.

BACA JUGA Warna-warni proses penamaan calon PRK DUN Kuala Kubu Baharu