‘Misteri’ jumlah harta dua anak Tun M, SPRM beri tempoh lanjutan 30 hari lagi isytihar harta

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekali lagi memberi tempoh lanjutan 30 hari bagi dua anak bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengisytiharkan harta milik mereka.

Mirzan Mahathir dan Tan Sri Mokhzani Mahathir dikehendaki memenuhi permintaan berkongsi perincian harta serta seluruh aset yang diperoleh sejak 43 tahun yang lalu.

Tempoh itu bermula pada tahun 1981 ketika bapa mereka menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri buat kali pertama.

Pemakluman lanjutan itu disahkan oleh Muhammad Nizamuddin Abdul Hamid, peguam yang mewakili Mirzan dan adiknya Tan Sri Mokhzani, lapor Berita Harian semalam.

Tun Dr Mahathir Mohamad bakal mencecah usia 99 tahun pada 10 Julai nanti.

Nizamuddin juga memberitahu notis daripada SPRM mengenai lanjutan tempoh itu diterima pada hari sama.

Mirzan dan Mokhzani, masing-masing anak kedua dan ketiga Mahathir, boleh didakwa jika gagal mengisytiharkan harta mereka kepada SPRM.

Namun, Mirzan dan Mokhzani meminta SPRM untuk bersabar dan menjelaskan bahawa mustahil serta sukar untuk pihaknya mengumpul maklumat berkenaan harta yang diperolehi dalam tempoh lebih empat dekad.

Pada 18 Januari lalu, SPRM dilapor mengkehendaki Mirzan mengisytiharkan segala aset alih dan tidak alih yang berada dalam pegangannya sama ada di dalam atau di luar negara dalam tempoh 30 hari dari tarikh notis.

Mokhzani pula disiasat mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Untuk rekod, Mirzan pernah bekerja untuk bank pelaburan yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), Salomon Brothers.

Dia kini merupakan pengasas dan ketua pegawai eksekutif syarikat pegangan pelaburan dan penasihat kewangan Malaysia Crescent Capital Sdn Bhd.

Mirzan turut memegang jawatan pengarah di beberapa syarikat awam dan swasta di Asia Tenggara, termasuk penapis minyak terbesar Filipina Petron dan pengeluar elektronik tempatan Betamek.

Dalam masa sama, dia juga merupakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Konsortium Logistics Berhad (KLB).

Sementara itu, Mokhzani pula pernah beberapa kali disenaraikan sebagai antara orang terkaya Malaysia sejak 2007.

Pada tahun 2013, Mokhzani berada di kedudukan orang kesembilan terkaya di Malaysia dengan jumlah kekayaan lebih RM4.22 bilion hasil daripada industri minyak dan gas.

Malah, sekitar sedekad pentadbiran Mahathir sebagai Perdana Menteri, Mokhazani didedahkan oleh Asiaweek mempunyai pegangan dalam syarikat awam sahaja sudah melebihi AS$880 juta.

BACA JUGA Selepas dua hari direman, apa berlaku pada menantu Presiden Pas?