Beting pasir seluas padang bola timbul di Sungai Kelantan gara-gara kemarau luar biasa 

Paras air Sungai Kelantan dilapor menyusut hingga menampakkan beting pasir seluas padang bola di tengah-tengah sungai berkenaan berikutan musim kemarau yang melanda negeri itu.

Lapor Bernama, seorang penduduk memberitahu bahawa beting pasir mula timbul sejak sebulan lepas iaitu ketika Ramadan dan kini semakin jelas kelihatan.

Malah berdasarkan laman web Jabatan Pengairan dan Saliran Kelantan, paras air sungai di kawasan itu berada di paras 15.67 meter (m) berbanding paras normal 17m.

Penduduk kampung, Mohd Rafizi Abdullah, 37, berkata, orang ramai yang singgah di kedainya kebanyakan tertarik dan berasa pelik dengan fenomena tersebut, malah ada yang mengambil kesempatan berjalan kaki ke tengah sungai dan bergambar.

“Di bahagian tebing paras air hanya setinggi paha orang dewasa dan semakin lama berjalan ke tengah sungai parasnya semakin tohor,” katanya menurut Bernama.

Tambah penduduk itu lagi, keadaan tersebut sebenarnya menyukarkan bot yang berulang-alik terutama dari Kampung Keluat dan Taku kerana perlu mengambil jarak jauh bagi menggelak beting pasir.

Mohd Rafizi berkata pemandangan di sungai itu juga akan lebih menarik apabila air sungai jernih tetapi adakalanya keruh kerana hujan di bahagian hulu sungai.

Difahamkan keluasan Sungai Kelantan antara Tangga Krai ke Kampung Keluat dianggarkan sejauh 300 meter.

Bagi Firdaus Mohd Zain, 22, pula fenomena air surut itu sikit sebanyak membuatkan kedai makan di atas rumah rakit miliknya semakin ramai pengunjung.

Menurutnya kini penduduk dari luar daerah turut datang ke kedai kerana selain mahu menikmati juadah kampung berlauk ikan sungai mereka juga mahu melihat fenomena pasir timbul.

“Ada yang membayar bot semata-mata mahu pergi ke tengah sungai untuk melihat lebih dekat. Bagi yang mahu merasai pengalaman bermain air dan pasir sungai sambil mencari etak bolehlah datang ke sini,” katanya.

BACA JUGA Kalau teksi dah turun ‘support’, memang menanglah Perpaduan