‘Bila pindah ke Machang, dia bawa sekali budak-budak’, dah enam laporan kes ustaz liwat pelajar pusat tahfiz

Rupanya enam laporan diterima polis berhubung kes seorang ustaz di sebuah pusat tahfiz di Kelantan yang ditahan kerana disyaki meliwat tiga pelajarnya.

Malah, polis tidak menolak akan ada lagi laporan dibuat mangsa terhadap suspek yang tergamak melakukan perbuatan terkutuk itu sejak dua tahun lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, berkata enam laporan diterima masing-masing tiga di Machang dan Bachok.

“Banyak perkara yang kita nak lihat dan setakat ini pada peringkat awal hanya satu laporan, kemudian menjadi tiga laporan dibuat dan akhir-akhir ini ada lagi laporan akan dibuat.

“Ia membabitkan tiga di Bachok di mana suspek sebelum ini bertugas di sana.

“Bila dia pindah ke Machang, dia bawa sekali budak-budak berkenaan dan perbuatan itu disyaki bermula sejak 2022 hingga April ini,” jelasnya, lapor Harian Metro.

Sehubungan itu, beliau berkata, polis juga akan terus memantau segala aktiviti pengajian agama yang dibuat di madrasah atau pondok kawasan masing-masing.

“Saya sudah mengarahkan Ketua Polis Daerah dan juga Ketua Balai untuk melihat di kawasan masing-masing ada tak madrasah atau pondok pengajian yang berbentuk begini.

“Yang di bawah Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) saya rasa tidak ada masalah sebab dipantau.

“Yang tidak dipantau ini, walaupun percuma misalnya tetapi sudah tentulah kosnya ditanggung oleh orang persendirian, atau oleh masyarakat setempat.

“Jadi, kita mahu sekolah agama ini biarlah memberikan pengajian yang betul, yang boleh menjaga kebajikan anak-anak ini, dan tidak berlaku perkara seperti ini.

“Kalau kita biarkan takut ada lagi berlaku,” katanya.

Sebelum ini gempar laporan seorang guru sebuah pusat tahfiz di Machang ditahan kerana disyaki meliwat tiga pelajarnya sejak dua tahun lalu.

Kesemua tiga mangsa terbabit yang berusia 12 hingga 13 tahun diminta untuk melakukan perbuatan terkutuk itu oleh suspek berusia 39 tahun terbabit di pusat tahfiz.

Kes menggemparkan di negeri diterajui Pas sejak lebih tiga dekad itu disiasat mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan kerana meliwat.

BACA JUGA Biodata calon PN diragui, jawapan ‘no komen’ ketika ditanya wartawan undang buah mulutÂ