Gara-gara teruk diboikot, KFC Algeria buang logo Kolonel Sanders ganti gambar ayam
Restoran makanan segera seluruh dunia terkesan dengan gerakan boikot besar-besaran dilakukan sebahagian besar penyokong pro-Palestin susulan perang ganas dilakukan Israel terhadap Gaza.
Restoran Kentucky Fried Chicken (KFC) yang pertama di Algeria dilaporkan beroperasi semula selepas ditutup buat sementara waktu susulan siri tunjuk perasaan pro-Palestin pada minggu lalu.
Lapor Agensi, restoran terletak di Dely Ibrahim, pinggir Algiers itu bagaimanapun beroperasi tanpa logo Kolonel Sanders pada bangunannya.
Kolonel Sanders dari Amerika Syarikat (AS) yang meninggal dunia pada 1980 merupakan pengasas restoran itu.
Namun, masih tidak jelas sama ada restoran tersebut telah bertukar milik atau kekal di bawah payung syarikat induk KFC, Yum! Brands.
Restoran itu sebelum ini diboikot kerana dituduh mempunyai kaitan dengan Israel walaupun berpangkalan di AS.
Yum! Brands pula didakwa telah membuat pelaburan dalam syarikat milik Israel termasuk TicTuk.
TicTuk membolehkan pelanggan memesan makanan menerusi rangkaian sosial dan aplikasi mesej.
Pada 16 April lalu, penunjuk perasaan berkumpul di luar restoran tersebut dan menyeru ia diboikot selain menyatakan solidariti bersama rakyat Palestin ketika perang Israel-Hamas berterusan di Semenanjung Gaza.
BACA JUGA Biodata calon PN diragui, jawapan ‘no komen’ ketika ditanya wartawan undang buah mulut