Anak dan pegawai kanan disiasat SPRM, AMK desak MB Perlis letak jawatan
Angkatan Muda Keadilan (AMK) Perlis mendesak agar Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli meletakkan jawatan berkuatkuasa serta-merta susulan penahanan beberapa pegawai kanan yang mempunyai kaitan dengan kerajaan negeri Perlis.
Ketuanya, Azzin Izzad Bahanudin berkata, AMK mengutuk dan mengecam sekeras-kerasnya sebarang salahguna kuasa dan rasuah di dalam negeri Perlis yang berdaulat.
Menurutnya, kes membabitkan anak MB Perlis yang didakwa memalsukan dokumen untuk tuntutan palsu berjumlah RM600,000 adalah satu-satunya kes yang pernah berlaku sepanjang 181 tahun terbentuknya negeri Perlis
“Isu utamanya, adakah jumlah tuntutan palsu bernilai RM600,000 termasuk dengan tuntutan palsu yang dikaitkan dengan Institusi Diraja Perlis?
“Wajar diingat ini merupakan satu-satunya kes seumpamanya sepanjang 181 tahun terbentuknya negeri Perlis.
“Bagaimana boleh dikatakan PN ‘Bersih dan Stabil’, namun anak kepada pemimpin tertinggi negeri pula ditahan reman SPRM ketika PN berkuasa tidak sampai satu penggal?,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, AMK Perlis menggesa barisan kepimpinan Perikatan Nasional negeri Perlis terutamanya Menteri Besar Perlis bermuhasabah dan bertanggungjawab terhadap isu yang berlaku.
Beliau juga mengharapkan agar satu siasatan dijalankan dengan telus tanpa ada ganggu gugar dari mana-mana pihak kerana siasatan turut melibatkan anggota keluarga Menteri Besar Perlis serta pegawai beliau.
“Maka, kami menuntut YAB Menteri Besar meletakkan jawatan berkuatkuasa serta-merta,” ujarnya.
Terdahulu, Mohd Shukri berkata beliau terbuka jika anaknya yang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerima hukuman seandainya terbukti bersalah dalam hal berkenaan.
“Ini adalah ujian yang sedang saya hadapi dan jika anak (terbukti) bersalah, maka hukumlah dia kerana saya sudah beri pendidikan dan ilmu termasuk juga pegawai saya di mana saya selalu berpesan mengenai perkara ini dan jika terbabit juga, saya sudah habis ikhtiar.
“Namun, apa pun saya tidak ada rasa gundah gulana dan saya juga tidak ada sebarang prasangka terhadap SPRM sehingga habis siasatan mereka,” katanya ketika berucap dalam ucapan penggulungan sidang DUN Perlis.
BACA JUGA Anak MB Perlis, pegawai kanan dicekup SPRM kes pemalsuan dokumen RM600,000