Chegu Bard didakwa memfitnah, merosakkan nama baik Agong

Ahli Jawatankuasa Penerangan Bersatu, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegu Bard mengaku tidak bersalah atas dua tuduhan memfitnah dan menghasut untuk merosakkan nama baik Yang di-Pertuan Agong.

Badrul Hisham, 45, membuat penyataan itu sejurus pertuduhan dikemukakan terhadapnya di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Siti Aminah Ghazali.

“Saya faham, tidak mengaku salah,” katanya.

Mengikut pertuduhan pertama, beliau didakwa mengeluarkan kenyataan fitnah di mana beliau mempunyai sebab untuk percaya bahawa ia akan merosakkan nama baik Yang di-Pertuan Agong.

Kesalahan didakwa dilakukan di Istana Negara, jam 6 petang pada 22 Januari lalu mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan (KK) yang membawa kepada hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan.

Chegu Bard juga berdepan tuduhan membuat penerbitan menghasut di Taman Bukit Cheras, di sini, jam 12.15 tengah hari, 6 April lalu.

Pendakwaan mengikut Perenggan 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 (Akta 15) yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.

Susulan pengakuan tidak bersalah itu, Timbalan Pendakwa Raya, Syed Faisal Syed Amir, mencadangkan jaminan RM20,000 kepada Chegu Bard bagi setiap tuduhan dengan seorang penjamin.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan, namun menolak cadangan perintah larangan dimohon pihak pendakwaan.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 27 Mei ini.

BACA JUGA Chegu Bard bergari dibawa ke mahkamah