Leftenan muda Min Youn satu-satunya penuntut berbangsa Cina tamatkan kursus komando
Leftenan Muda Chan Min Youn menjadi satu-satunya penuntut berbangsa Cina yang menamatkan Kursus Asas Komando Gerup Gerak Khas (GGK) baru-baru ini.
Kejayaannya menamatkan latihan selama 12 minggu ini telah melayakkannya untuk dianugerahkan Beret Hijau.
Selain dianugerahkan Beret Hijau, dia juga turut dianugerahkan pisau komando sekali gus bergelar warga Gerup Gerak Khas (GGK).
Perkara tersebut dikongsikan di laman Facebook Berita Tentera Darat Malaysia yang memaparkan sembilan pegawai dan 60 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) dianugerahkan beret hijau serta pisau komando.
Pemuda berusia 25 tahun itu berkata, dia didorong oleh rasa minat yang mendalam terhadap dunia ketenteraan dan berazam mahu berbakti untuk negara selepas mula berkhidmat sebagai anggota 515 Askar Wataniah.
Chan yang berasal dari Setapak, Kuala Lumpur itu merupakan graduan perakaunan daripada Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR).
Ketika menerima Beret Hijau dan Pisau Komando, pemuda berkata dia mahu menjadi seorang pegawai tentera disebabkan minat.
“Saya mahu berkhidmat kepada negara, tuan,” katanya dengan jelas sewaktu Perbarisan Penganugerahan Beret Hijau Gerak Khas serta Pisau Komando.
“Saya tidak ada pengetahuan pun mengenai komando. Ketika berada di 515 AW, di situlah saya mula berpijak dalam dunia ketenteraan.
“Apabila mengenali dunia komando, saya mahu mencabar diri saya untuk menyertai komando dan buktikan kepada diri saya walaupun Askar Wataniah, saya pun boleh jadi seorang komando,” katanya semasa ditemubual oleh berita Angkatan Tentera.
Ketika ditanya berkenaan matlamat, Chan komited untuk terus berkhidmat sebagai seorang komando untuk menambah ilmu pengetahuan secara berterusan.
“Saya berharap dapat terus berkhidmat sebagai seorang komando dan menjadi seorang komando yang berkualiti dan menjaga nama baik komando sehingga akhir hayat saya,” katanya lagi.
BACA JUGA Calon PH sahut cabaran Pas, dedah keputusan SPM 10A, UPSR 7A