Ekonomi Malaysia berkembang, nombor tiga KDNK tertinggi di Asean

Ekonomi Malaysia berkembang baik dengan berada di tangga ketiga dengan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita ketiga tertinggi di Asean.

Rekod itu berdasarkan unjuran Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) yang dikemas kini pada bulan ini.

Menerusi Tinjauan Ekonomi Dunia diterbitkan pada April, Malaysia diunjurkan mencapai KDNK per kapita sebanyak $13,315, di belakang Brunei ($35,112) dan Singapura dengan unjuran $88,447.

Sementara itu, Myanmar kekal sebagai negara dengan KDNK per kapita terendah di Asia Tenggara, iaitu $1,250.

Secara umumnya, prestasi ekonomi Malaysia mengatasi Thailand yang mencatat unjuran $7,841; Indonesia ($5,271) dan Vietnam yang diunjur mencapai $4,626.

Sebelum ini, Bank Negara Malaysia (BNM) mengunjurkan ekonomi Malaysia berkembang antara 4.0 dan 5.0 peratus tahun ini.

Pertumbuhan akan dipacu oleh perbelanjaan dalam negeri yang berdaya tahan, dengan sokongan tambahan daripada jangkaan pemulihan dalam eksport.

Industri pelancongan juga dijangka terus bertambah baik manakala pelaksanaan projek berbilang tahun yang baharu dan sedia ada oleh sektor swasta dan awam akan menyokong aktiviti pelaburan.

BNM menjangkakan pertumbuhan ekonomi negara akan mendorong kepada lebihan akaun semasa imbangan pembayaran yang lebih tinggi antara 1.8 peratus dan 2.8 peratus daripada KDNK pada 2024, suatu peningkatan berbanding 1.2 peratus daripada KDNK pada 2023.

Tahun lalu, Malaysia mencatatkan pertumbuhan KDNK sebanyak 3.7 peratus disokong oleh aktiviti ekonomi dan keadaan pasaran pekerja yang terus pulih, walaupun dalam persekitaran luaran yang mencabar.

BACA JUGA Dipanggil semula rakam percakapan? Ini reaksi MB Perlis selepas disiasat