Gagal malukan calon PH, Pas ‘disekolahkan’ cuba alih isu kepada sekolah vernakular

Setiausaha Publisiti DAP, Teo Nie Ching menempelak Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari selepas cuba mengalihkan isu dengan menyerang calon Pakatan Harapan (PH) yang mendapat pendidikan di sekolah vernakular.

Teo menyifatkan ahli Parlimen Pasir Mas itu terjerat dengan permainan sendiri apabila mencabar calon PH di DUN Kuala Kubu Baharu, Pang Sock Tao untuk mendedahkan keputusan SPM dan UPSR.

Beliau berkata, mungkin Ahmad Fadhli kurang senang kerana calon PH bersekolah di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), namun mengingatkannya bahawa pemimpin Pas sendiri ada yang menghantar anak mereka ke sekolah vernakular.

“Mungkin YB Pasir Mas kurang selesa bahawa Xiao Tao belajar di sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).

“Tetapi, ada juga pimpinan dari Pas yang menghantar anak-anak mereka ke SJKC, seperti ramai ibu bapa Melayu yang lain. 

“Menghantar anak-anak ke apa-apa jenis sekolah sekalipun merupakan pilihan setiap ibu bapa. Saya juga yakin, setiap ibubapa mahukan yang terbaik untuk anak-anak mereka lebih-lebih lagi dalam pendidikan. 

“Jadi, di mana pun seseorang menimba ilmu, sudah tentulah ia keputusan terbaik yang dibuat oleh ibu bapa,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Justeru Teo berharap agar wakil rakyat Pas itu boleh menghormati pilihan ibu bapa masing-masing.

Beliau juga berharap agar semua calon dan pimpinan tanpa mengira parti dapat berkempen secara sihat dan menunjukkan contoh tauladan yang baik sebagai ikutan masyarakat.

Terdahulu, Pang menyahut cabaran Pas untuk mendedahkan keputusan UPSR dan SPM – dengan semua subjek cemerlang A.

Susulan itu, Ahmad Fadhli pula tampil membalas dengan kenyataan pendek yang menyentuh soal pendidikan di sekolah vernakular

Beliau juga berharap isu Pang yang mendapat pendidikan di sekolah berkenaan akan ‘berterusan’ hingga PRK 11 Mei.

Tanpa menjelaskan lebih lanjut mengenai ‘harapannya’ itu, beliau turut memohon maaf kerana menyusahkan calon PH yang terpaksa mendedahkan keputusan dan sekolahnya di peringkat rendah serta menengah.

“Saya mohon maaf kerana bangkitkan isu pendidikan peringkat UPSR dan SPM calon PH PRK KKB.

“Secara tidak langsung mendedahkan calon tersebut mendapat pendidikan di sekolah vernakular. Dengan permohonan maaf ini, semoga isu ini berterusan hingga pilihan raya kecil nanti,” kata Fadhli di Facebook.

BACA JUGA Leftenan muda Min Youn satu-satunya penuntut berbangsa Cina tamatkan kursus komando