Langkawi hari biasa pun tak jem, untuk apa Kedah nak bina LRT Maglev?

Kedah dilaporkan sedang merancang membina sistem tren Transit Aliran Ringan (LRT) menggunakan teknologi levitasi magnet di Langkawi.

Perkembangan itu menarik perhatian ramai termasuk seorang pemerhati politik Najib Bakar yang tertanya apa masalah sebenar di Langkawi sehingga memerlukan pembinaan LRT Maglev.

Rakannya yang seorang penduduk di Langkawi memberitahu, Langkawi sama sekali tidak menghadapi kesesakan jalan raya yang teruk pada hari-hari biasa.

Justeru dia tertanya, adakah Kedah mahu menarik kehadiran pengunjung ke Langkawi dengan menghebahkan mengenai LRT? – Di mana menurutnya agak tidak kena.

“Aku dah lama tak pi Langkawi. Aku dok ingat kot lah tahap jem dia macam di Penang. Ya lah, Penang memang tahap jem dia gila punya. Logik la nak buat LRT.

“Tapi, lah rupanya Langkawi pada hari biasa tak jem langsung. Jadi, untuk apa sebenarnya LRT ni?

“Apa masalah Langkawi la ni? (Masalahnya) kurang pengunjung atau pelancong. Rakyat Malaysia lebih suka masuk Siam sekarang ini.

“Tapi, takkan cara nak tarik pengunjung datang ke Langkawi adalah dengan bagitahu ada LRT?

“Ada ke orang yang sebut kami nak pi melancong ke UK/Turkiye/Korea sebab nak naik LRT. Kalau ada orang sebut macam itu, kita pun macam… Haaa?,” ulasnya pada hantaran di Facebook.

Najib berkata, anggaran kos membina LRT Maglev itu boleh menelan belanja USD50 juta ke USD100 juta untuk 1 kilometer.

Dan untuk membina LRT dari Jeti Kuah ke Pantai Cenang yang berkuran kurang 20 kilometer, anggaran kos boleh mencecah USD1 bilion atau bersamaan RM4.7 bilion.

Lebih memburukkan keadaan, belanjawan Kedah pula sekitar RM1.24 bilion sahaja.

“Mahai bang Maglev ni, sebab dia laju. Tapi hang takat 20km nak laju-laju pi mana?

“Belanjawan Kedah pulak berapa? 1.24 billion ringgit. Nak buat LRT di Langkawi yang 20km tu sahaja dah makan semua siap berhutang belanjawan Kedah.

“Logik ke tak logik?,” soalnya lagi.

Projek mega yang dimumkan kerajaan negeri Kedah sememangnya mengundang banyak pertikaian kerana banyak projek di negeri itu yang tertunda selepas diumumkan, antaranya projek litar lumba.

Pada 16 Ogos 2022, Menteri Besarnya, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dilapor berkata bahawa hasrat negeri itu untuk memiliki litar lumba bertaraf antarabangsa bakal tercapai selepas litar bernilai RM75 juta bakal dibina dalam tempoh terdekat.

Namun sehingga kini belum menampakkan sebarang tanda litar lumba itu akan dibina, malah ia telah ditumbuhi semak samun.

BACA JUGA Terkini: Menteri Besar Perlis didakwa ditahan SPRM?