Terkini: Menteri Besar Perlis didakwa ditahan SPRM?

Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli didakwa telah ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pagi tadi.

Menurut laporan Malaysiakini yang memetik sumber, Mohd Shukri ditahan di ibu pejabat agensi anti rasuah itu selepas hadir untuk memberi keterangan kepada pihak berkuasa berhubung siasatan yang sedang berlangsung ke atas anak lelakinya.

Turut dilaporkan, Mohd Shukri ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan salah guna kuasa.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi portal itu mengesahkan Mohd Shukri kini berada di ibu pejabat agensi berkenaan.

Terdahulu anak lelaki Mohd Shukri dan orang kuat beliau dilapor telah ditahan SPRM bagi membantu siasatan pemalsuan dokumen tuntutan palsu berjumlah RM600,000.

Menurut laporan media tempatan, pegawai kanan pejabat Menteri Besar Perlis adalah antara enam yang ditahan.

Susulan itu dalam sidang DUN Perlis, Mohd Shukri berkata beliau bersedia jika anaknya disiasat dan dikenakan hukuman.

“Dalam hal ini juga, sekali lagi saya tegaskan bahawa saya terbuka di mana dalam ucapan sidang DUN sebelum ini juga, saya ada katakan bahawa pejabat saya buka 25 jam sehari untuk sebarang pemeriksaan SPRM kerana saya tidak mahu berlaku sebarang penyelewengan dan biarlah ia dalam keadaan bersih dari unsur tidak baik,” katanya.

BACA JUGA Anak MB Perlis, pegawai kanan dicekup SPRM kes pemalsuan dokumen RM600,000