Malaysia, Arab Saudi bincang pelaburan baharu untuk negara

Malaysia dan Arab Saudi sedang berbincang mengenai pelaburan baharu untuk negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Lapor Bernama, Anwar dan delegasinya dijangka memuktamadkan butiran pelaburan dari Arab Saudi ke Malaysia petang ini.

“Kami akan mengumumkan beberapa pelaburan baharu dengan kerajaan Arab Saudi,” kata Anwar, yang juga Menteri Kewangan, seperti dilapor.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Kumpulan Bank Pembangunan Islam (IsDB).

Anwar yang berada di Arab Saudi untuk lawatan kerja selama tiga hari sejak Sabtu lepas, telah mengadakan beberapa pertemuan dua hala dengan rakan sejawatannya, antara lain dari Pakistan, Iraq dan Bangladesh, sempena Forum Ekonomi Sedunia (WEF) dan mesyuarat tahunan IsDB.

“Saya akan mengadakan pertemuan peribadi dengan Putera Mahkota Mohammed bin Salman hari ini. Mereka telah mengunjungi Pengerang melalui IsDB.

“Terdapat juga beberapa inisiatif baharu dengan kerajaan Arab Saudi dari segi teknologi digital dan peralihan tenaga, yang sejajar dengan keutamaan Malaysia,” kata Perdana Menteri.

Pada Mac lepas, Lembaga Pengarah IsDB telah meluluskan projek Kompleks Tenaga Pengerang (PEC) bernilai US$100 juta (US$1=RM4.77) untuk Malaysia di bawah program perkongsian awam-swasta bank itu.

Projek itu bertujuan membangunkan kompleks yang mampan, cekap tenaga, menggunakan teknologi terkini di Pengerang, sekali gus menambah nilai kepada rantaian minyak dan gas hiliran Malaysia dan menggalakkan pertumbuhan ekonomi.

“Kerajaan Arab Saudi mengambil pendekatan yang lebih progresif dan terbuka dari segi melihat kepada globalisasi, keterangkuman, isu ekuiti dan ketidaksamaan serta keupayaan kita untuk terlibat atau meneroka aspek atau instrumen baharu (seperti teknologi digital dan kecerdasan buatan) akan amat membantu.

“Pada masa yang sama, ini adalah cara negara dapat memacu ekonomi melalui rangkaian seperti ini antara negara serta beberapa pembaharuan fiskal dan institusi,” kata beliau.

Malaysia menyertai IsDB pada 12 Ogos 1974.

Ia mempunyai langganan modal sebanyak 1.55 peratus bernilai 868.18 juta dinar Islam atau bersamaan dengan satu hak cabutan khas Tabung Kewangan Antarabangsa.

IsDB telah membiayai 166 projek di Malaysia bernilai US$963.2 juta.

Daripada jumlah itu, sebanyak 160 projek (US$945.8 juta) telah siap manakala enam lagi projek (US$17.4 juta) sedang dilaksanakan.

BACA JUGA Gagal malukan calon PH, Pas ‘disekolahkan’ cuba alih isu kepada sekolah vernakular

Â