PRK KKB: Mengapa perlu menangkan calon Perpaduan?

Pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) diseru turun melaksanakan tanggungjawab mereka demi mewujudkan konsep semak dan imbang terhadap isu setempat di kawasan Hulu Selangor jika Perpaduan berjaya menawan kerusi itu.

Ketua Penerangan Angkatan Muda Harapan, Ammar Atan berpendapat, pendedahan berhubung kepentingan elemen semak dan imbang dalam sesebuah pentadbiran perlu diberikan khususnya kepada pengundi di KKB.

”Adalah tersangat wajar untuk pengundi Hulu Selangor khususnya di KKB memenangkan seorang wakil Kerajaan Perpaduan (Pang Sock Tao) pada PRK kali ini yang menjadi satu-satunya perwakilan kerajaan di situ.

”Sesungguhnya, kemenangan Pakatan Harapan (PH) sebagai wakil tunggal pada PRK KKB ini akan memberikan impak yang sangat signifikan demi mewujudkan semak dan imbang di kawasan Hulu Selangor.

”Oleh itu, isu rakyat dapat disuarakan secara telus di dalam Dewan Rakyat atau DUN demi kemaslahatan pengundi KKB khususnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Ammar menyifatkan, ketulusan dan integriti seseorang wakil rakyat adalah penting dalam menjaga kepentingan masyarakat.

”Ayuh, kita tolak budaya politik lama yang menindas keperluan rakyat dan hanya mengutamakan political interest demi survival politik peribadi.

”Justeru, adalah sangat wajar rakyat di DUN KKB turun mengundi pada 11 Mei nanti supaya matlamat utama mewujudkan semak imbang di Hulu Selangor terhadap isu setempat, dapat dicapai kali ini,” ujar pemimpin muda itu.

Dalam kenyataan sama, Ammar turut mengingatkan agar pengundi memilih calon wakil rakyat yang setia kepada kepentingan rakyat KKB, selain jujur dan juga berintegriti.

Untuk rekod, PRK DUN Kuala Kubu Baharu diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong yang mewakili PH pada 21 Mac lalu.

PRK kali ini akan menyaksikan pertembungan empat penjuru calon yang bertanding.

Mereka terdiri daripada dua pesaing utama iaitu Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Pang Sock Tao mewakili Perpaduan dan Pemangku Ketua Bahagian Bersatu Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut dari Perikatan Nasional (PN).

Dua lagi calon yang akan berebut kerusi di utara Selangor itu adalah Hafizah Zainuddin dari Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan calon Bebas, Nyau Ke Xin.

Pada pilihan raya negeri tahun lalu, Kee Hiong berjaya mempertahankan kerusi DUN itu dengan majoriti 4,119 undi apabila mengalahkan Teoh Kien Hong (Gerakan), Siva Prakash Ramasamy (MUDA) dan Chang Boon Lai (Parti Rakyat Malaysia).

BACA JUGA Selepas tiga penggal pertahan KKB, ini sikap DAP hadapi PRK