Puluhan ribu ringgit cukai tertunggak, dua ahli politik Melaka ini antara yang disekat

Lantaran gagal melunaskan tunggakan cukai melibatkan jumlah puluhan ribu ringgit, dua ahli politik di Melaka antara 10 individu yang pernah disekat ke luar negara.

Menurut Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) negeri, Mohd Shahriz Ramli, tindakan terhadap kedua-dua individu berusia 40-an itu dilakukan di bawah Seksyen 104 Akta Cukai Pendapatan 1967/Seksyen 22 Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah 1976.

Jelasnya, jumlah itu melibatkan tunggakkan sejak beberapa tahun lalu meskipun jadual pembayaran secara ansuran telah diberikan.

“Kejadian ini berlaku dalam tahun ini yang mana mereka ini disekat kerana gagal menjelaskan tunggakan sehingga disekat daripada keluar negara.

“Kedua-dua mereka bagaimanapun dibenarkan meneruskan perjalanan ke luar negara selepas melunaskan keseluruhan bayaran tunggakan,” katanya.

Mohd Shahriz berkata demikian pada Program Libat Urus LHDN Melaka bersama Kelab Pengamal Media Melaka (Pendika) di Pejabat LDHN negeri di Ayer Keroh, hari ini.

Selain itu, katanya, selain ahli politik, beberapa individu berjawatan tinggi termasuk pengarah syarikat yang sengaja melewatkan pembayaran cukai turut dikesan.

“Kita akan kejar mana-mana individu yang enggan membayar cukai termasuklah wakil rakyat dan kita percaya apa yang terjadi sebelum ini adalah kerana ‘ego’.

“Mereka ini merupakan golongan yang sepatutnya menjadi contoh kepada masyarakat dan kami juga memerlukan golongan ini dalam program-program bersama masyarakat termasuk dalam memberi kesedaran kepada masyarakat,” tambahnya lagi.

BACA JUGA Selepas tiga penggal pertahan KKB, ini sikap DAP hadapi PRK