Miskin tegar di Selangor ‘pupus’ Julai ini

Kemiskinan tegar di Selangor akan dibasmi sepenuhnya selewat-lewatnya Julai ini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ketika ini terdapat hanya 861 keluarga yang masih tergolong dalam kumpulan miskin tegar.

“Bulan Jun nanti saya akan tengok laporannya, saya percaya maksimumnya Julai (ini) kita boleh ‘menghapuskan’ daripada data log awal.

“Tetapi dari semasa ke semasa, sudah pasti selepas Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) kita dapat data sepenuhnya, kita akan lihat balik apakah keperluan-keperluan itu dapat ditambah,” jelasnya.

Amirudin berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Sambutan Raya Anak Muda di Bandar Baru Batang Kali, Hulu Selangor malam tadi.

Menurutnya, Sepang menjadi daerah pertama yang mencatatkan sifar miskin tegar setakat ini.

“Macam di Gombak, penurunannya agak rendah sedikit (iaitu) 72 peratus, daerah lain juga ada yang turun (hingga) 92 peratus daripada (jumlah asal) iaitu lebih 8,000 keluarga.

“Jadi, saya yakin kita boleh membasmi (kemiskinan tegar) menjelang Julai ini,” jelasnya lagi.

BACA JUGA Netanyahu tetap mahu teruskan genosid di Rafah