Netanyahu tetap mahu teruskan genosid di Rafah

Selepas lebih 200 hari genosid terhadap rakyat Palestin, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu terus berikrar untuk menyerang Rafah.

Pendirian Netanyahu untuk meneruskan serangan di selatan Semenanjung Gaza itu muncul ketika terdapat laporan kemungkinan adanya perjanjian gencatan senjata dengan Hamas.

“Idea bahawa kita akan menghentikan perang sebelum mencapai semua objektif adalah di luar persoalan,” katanya, lapor Agensi.

Ratusan jasad termasuk yang berikat dijumpai di kubur besar dekat kompleks perubatan Nasser di Khan Yunis.

Netanyahu berkata demikian ketika pertemuan dengan keluarga tentera Israel, seperti dipetik dalam satu kenyataan dari pejabatnya.

Dia berkata tentera Israel akan memasuki Rafah untuk memusnahkan batalion Hamas “dengan atau tanpa perjanjian.”

Penjenayah perang itu juga berkata, pemindahan orang awam dari Rafah telah bermula.

“Kami telah memulakan pemindahan penduduk di Rafah. Kami akan berada di sana tidak lama lagi,” katanya.

Pada masa ini, Rafah menjadi benteng terakhir lebih 1.4 juta penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal.

Israel belum mengumumkan secara rasmi kemasukan tenteranya ke Rafah untuk meneruskan serangan terhadap rakyat Palestin.

Terdapat cadangan gencatan senjata baharu yang dibincangkan oleh Hamas dan Israel.

Cadangan baharu itu termasuk kesediaan Israel untuk membincangkan “pemulihan ketenangan mampan” di Gaza selepas pembebasan awal tebusan atas dasar kemanusiaan, dua pegawai Israel memberitahu laman web berita Axios.

BACA JUGA Papagomo direman pagi ini